AGENDASUKANKINI

Klopp: Tindakan Mane sudah diselesaikan

SHAH ALAM, 1 SEPT: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menjelaskan pasukannya kekal tenang walaupun penyerangnya, Sadio Mane melepaskan kemarahan selepas dikeluarkan pada pertemuan menentang Burnley, awal pagi tadi.

Katanya, reaksi dipamerkan Mane itu jelas tetapi semuanya sudah dibincangkan dalam bilik persalinan selain memuji persembahan pemainnya.

“Itu jelas (kemarahan) dan ia tidak boleh disembunyikan tetapi kita sudah bercakap mengenainya dan semuanya baik.

“Mereka (pemain) mempamerkan persembahan baik dan bukan mudah menembusi lawan yang beraksi dengan formasi 4-4-2,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Keengganan rakan sepasukan, Mohamed Salah menolak bola kepadanya ketika Liverpool berpeluang untuk menggandakan jaringan menyebabkan pemain Senegal itu berang selepas dikeluarkan pada minit ke-85.

Bagaimanapun, keadaan itu berjaya ditenangkan James Milner dan Roberto Firmino yang turut dikeluarkan selepas menghasilkan gol ketiga buat The Reds di bangku pemain simpanan.

Liverpool mengekalkan rekod bersih selepas mencatatkan empat kemenangan untuk meneraju liga apabila menang 0-3 di gelanggang lawan.

The Reds merekodkan 13 kemenangan liga berturut-turut tanpa keputusan seri atau kalah di samping Firmino menjadi pemain Brazil pertama menjaringkan 50 gol dalam Liga Perdana Inggeris.


Pengarang :