Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Konvensyen KEADILAN ‘Reformasi Dua Dekad’ bermula Oktober

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: KEADILAN akan menjelajah ke setiap negeri dan mengadakan konvensyen bertemakan ‘Reformasi Dua Dekad’, bermula Oktober ini.

Pengarah Komunikasinya, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, konvensyen yang menyaksikan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanatnya kepada ahli parti di setiap negeri, akan disusuli dengan Kongres Nasional KEADILAN, pada 6 hingga 8 Disember ini.

“Jadual konvensyen itu akan diumumkan nanti selepas selesai penyelarasan dengan tarikh persidangan Parlimen dan pembentangan bajet akan datang.

“Konvensyen itu akan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad mengikut negeri yang berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat biro politik KEADILAN di ibu pejabat parti itu, semalam.

Antara yang menghadiri mesyuarat dipengerusikan Anwar itu adalah Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden, Tian Chua; Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian.

-BERNAMA


Pengarang :