FOTO Twitter Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah 2019 himpun 200 pelajar

SHAH ALAM, 26 SEPT: Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah 2019 berjaya menghimpunkan hampir 200 pelajar Selangor dari Jordan, Maghribi dan Mesir.

Konvensyen julung kali yang berlangsung di Kaherah, Mesir disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, semalam.

Amirudin berkata, konvensyen itu meliputi pembentangan kertas kerja oleh mahasiswa yang menyentuh isu semasa dalam konteks politik ekonomi sosial.

Katanya, forum berkenaan turut mengupas kebolehpasaran graduan yang berada di negara Arab sebaik mereka pulang ke Malaysia.

“Matlamat Kerajaan Negeri ialah untuk menggilap potensi mahasiswa Timur Tengah ini supaya dapat menjadi pemangkin kepada agenda merealisasi negara rahmah di Selangor,” tulisnya melalui hantaran di Facebook, semalam.

Pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) awal Mac lalu, Amirudin berkata, konvensyen itu dilaksanakan bertujuan memanfaatkan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan mahasiswa Selangor yang berada di Timur Tengah.

Katanya, konvensyen itu antara lain bagi menggarap pemikiran positif mahasiswa untuk diterapkan dan dijadikan asas pembangunan jati diri yang kukuh dan mampan.

“Manfaat yang bakal diperoleh adalah dapat menyediakan sumber manusia dalam bidang Pendidikan Islam dan Sains Kesihatan kepada Kerajaan Negeri secara khususnya dan negara serta keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap aspek kebajikan mahasiswa ini,” katanya.

Amirudin bersama delegasi Selangor mengadakan lawatan kerja ke negara berkenaan selama lima hari bermula 21 hingga 25 September lalu.

Beliau turut bertemu dengan mahasiswa Selangor di Kaherah dan melancarkan pusat aktiviti pelajar di Bangunan Pelajar Selangor dan bertemu mahasiswa di Pejabat Majis Amanah Rakyat (MARA), Alexandria, pada Selasa.

Pada pertemuan itu, beliau bersetuju memberikan sumbangan kepada mahasiswa berkenaan melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bagi menjalankan kegiatan mereka.

Turut menyertai delegasi itu, pembantu EXCO Hal Ehwal Agama dan Pendidikan merangkap Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin serta Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi.

Selain itu, Amirudin turut mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Syeikh Al-Azhar selain memenuhi undangan makan malam sempena sambutan Hari Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia, di Kaherah, pada Isnin.

Beliau bersama delegasi dijadual merancang untuk ke Sepanyol beberapa hari selepas lawatan di Mesir.


Pengarang :