AGENDAGLOBAL

Korea Selatan, Myanmar rintis kerjasama ekonomi

BANGKOK, 3 SEPT: Presiden Korea Selatan, Moon Jae In akan berlepas ke Myanmar hari ini dalam usaha merintis jalan ke arah kerjasama ekonomi lebih erat antara kedua-dua negara, lapor agensi berita Yonhap.

Lawatan Jae In ke Myanmar, pertama dalam tempoh tujuh tahun, selaras kempen pentadbiran beliau untuk mendekati negara Asia Tenggara di bawah Dasar Selatan Baharu.

Presiden Korea Selatan itu kini dalam rangka lawatan seminggu ke rantau berkenaan, yang membawanya ke Thailand untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha, terutama berkaitan langkah memperkukuh kerjasama dalam industri berteknologi tinggi.

Beliau juga dijangka ke Laos selepas mengadakan lawatan dua hari ke Myanmar.

Sejurus tiba di ibu kota Naypyitaw, Jae In dijadual mengadakan beberapa siri pertemuan dengan penasihat negara yang juga penerima Hadiah Keamanan Nobel Aung San Suu Kyi dan Presiden Win Myint.

Fokus akan diberikan terhadap langkah mempertingkat hubungan dua hala terutama kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pembangunan.

Myanmar kelihatan begitu bersemangat untuk menarik pelaburan langsung asing, manakala Korea Selatan berhasrat memperluas kerjasama dengan negara itu yang kaya dengan sumber asli dan terletak di tengah-tengah Asia iaitu antara China dan India.

Lebih 200 syarikat Korea Selatan kini menjalankan perniagaan di Myanmar.

Semasa lawatan Jae In ke negara itu, kerajaan Myanmar merancang untuk melancarkan pejabat “Korea Desk” bagi membantu perniagaan Korea Selatan menyelesaikan masalah pentadbiran.

Jae In juga mungkin menyatakan pendirian Seoul berhubung isu sensitif yang membabitkan krisis kemanusiaan etnik Rohingya.

Esok, beliau dijangka berlepas ke Yangon bagi menghadiri satu forum perniagaan dan majlis pecah tanah Kompleks Perindustrian Kerjasama Ekonomi Korea Selatan-Myanmar.

-BERNAMA


Pengarang :