Jarak penglihatan pemandangan Pusat Pentadbiran Kerajaan di Putrajaya semakin baik dengan Indeks Pencemaran Udara direkodkan pada bacaan 57 pada jam 5 petang ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kualiti udara bertambah baik hari ini

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Hujan di beberapa negeri hari ini menyumbang kepada kualiti udara yang semakin baik di seluruh negara dengan keseluruhan kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bawah 100, iaitu paras sederhana.

Berdasarkan bacaan IPU terkini di portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 5 petang tadi, bilangan kawasan yang mencatatkan kualiti udara baik juga meningkat daripada hanya dua kawasan tengah hari tadi kepada enam tempat.

Enam lokasi berkenaan ialah Jerantut dan Indera Mahkota, Pahang; Paka dan Besut, Terengganu; Keningau, Sabah dan Tanjung Malim, Perak yang mencatatkan bacaan paling rendah iaitu 33.

Bacaan IPU yang paling tinggi direkodkan setakat ini adalah di Johan Setia Klang, Selangor iaitu 84, yang masih di paras sederhana.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini, meramalkan keadaan jerebu yang melanda negara sejak dua minggu lepas akan beransur pulih susulan fasa peralihan monsun yang bermula pada 24 September.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-BERNAMA


Pengarang :