Pemandangan bandar Klang yang berjerebu dan dirakam dari bangunan Majlis Perbandaran Klang. Foto ASRI SAPFIE/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kualiti udara Johan Setia kekal tidak sihat

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Kawasan Johan Setia Klang, Selangor kekal sebagai kawasan bertanda ‘kuning’ yang dikategori sebagai kawasan kualiti udara tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 140 setakat pukul 7.00 malam.

Berdasarkan bacaan IPU terkini di portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), 65 kawasan lain mencatat kualiti udara sederhana manakala Keningau, Sabah pula merekodkan kualiti udara baik.

Perkembangan positif kualiti udara sejak awal pagi tadi membolehkan orang ramai menikmati cuaca cerah selain jarak penglihatan yang semakin meningkat, mendorong ramai untuk kembali menikmati aktiviti luar.

Sementara itu 78 pelajar Malaysia yang dievakuasi dari Riau dan Jambi di Indonesia tiba di tanah air petang tadi susulan pengisytiharan darurat jerebu oleh kerajaan Indonesia di kawasan berkenaan.

Menurut Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik kesemua pelajar akan dibenarkan kembali ke sana apabila keadaan di kawasan berkenaan sudah kembali pulih nanti.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-BERNAMA


Pengarang :