SELANGOR

KUIS lahir 20,890 graduan, sedia penuhi keperluan IR 4.0

BANGI, 6 SEPT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) layak mendapat pujian berikutan kejayaan melahirkan 20,890 graduan sejak institusi pengajian tinggi Islam itu ditubuhkan 24 tahun lalu.

Rektor KUIS, Professor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, KUIS terus mengorak langkah sebagai ‘Peneraju Tradisi Ilmu’ dengan membawa perubahan pendidikan berasaskan Syariat Islam bagi memastikan hala tuju memenuhi keperluan semasa yang seiring perubahan Revolusi Perindustrian 4.0 dan Pendidikan Abad ke-21.

“Hasrat untuk melahirkan Dai’, Ulama Dan Umara’ merupakan cita-cita KUIS yang sentiasa menjadi keutamaan dan sebagai sebuah IPT Islam yang memenuhi tanggungjawab sosial dan ummah, KUIS sentiasa berusaha melahirkan lebih ramai tenaga profesional Muslim yang mampu memimpin masyarakat serta membangun ummah agar lebih cemerlang dan terbilang.

“Pada masa ini terdapat lebih daripada 28 program pasca siswazah yang ditawarkan di KUIS, iaitu tujuh program pengajian di peringkat Doktor Falsafah dan 21 program pengajian di peringkat Sarjana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen KUIS Kali Ke-22 di Pusat Konvosyen KUIS di sini, hari ini.

Ab Halim berkata, tahun ini KUIS sekali lagi melahirkan dua graduan Ijazah Doktor Falsafah Islamiyyat yang mampu menjadi inspirasi kepada 126 orang pelajar pasca siswazah terdiri daripada 37 pelajar Doktor Falsafah dan 89 orang pelajar Sarjana.

Ab Halim turut mengucapkan tahniah kepada graduan sulung Doktor Falsafah wanita yang telah dilahirkan KUIS.

“Ini membuktikan KUIS mampu melahirkan cendekiawan dalam bidang Doktor Falsafah, seiring dengan perkembangan semasa dunia Islam dan kita harap pada tahun hadapan, lebih ramai lagi graduan pasca siswazah bakal dilahirkan oleh KUIS.

“Saya juga menyeru kepada graduan KUIS sama ada di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana untuk terus menyambung pengajian di KUIS sehinggalah tamat di peringkat Doktor Falsafah,” katanya.

Pada Majlis Konvokesyen kali ini, seramai 2,338 graduan dianugerahkan Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah masing-masing.

Majlis penuh gemilang itu diadakan selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad nanti.


Pengarang :