AGENSISELANGOR

KUIS tempa kejayaan di semua peringkat

BANGI, 6 SEPT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menempa banyak kejayaan dalam dan luar negeri sekali gus mengharumkan nama negara.

Rektor KUIS, Profesor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, antara kejayaan antarabangsa diraih adalah dalam bidang akademi dan penyelidikan pada Seminar Pameran Inovasi, Teknologi dan Penyelidikan (ITREX 2019), Pusat Sains dan Budaya Rusia (RCSC) menerusi aplikasi bergerak Kit Asas Bahasa Rusia.

Jelasnya, aplikasi itu dihasilkan oleh pelajar Fakulti Sains & Teknologi Maklumat KUIS dan diletakkan di laman web rasmi RCSC dan Kerajaan Rusia.

“Selain itu, dalam pertandingan KPMG Cyber Security Challenge 2019, pelajar KUIS telah mendapat tempat ketiga daripada 20 finalis dan akan berentap pada peringkat akhir pada 25 September ini.

“KUIS menyahut cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 dengan mempraktikkan ilmu yang dipelajari selain menghasilkan aplikasi-aplikasi yang dapat membantu bidang industri dan syarikat-syarikat besar terkemuka di Malaysia dan juga di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen KUIS Kali Ke-22 di Pusat Konvosyen KUIS di sini, hari ini.

Ab Halim berkata, pelajar KUIS juga menjuarai pertandingan bola sepak Sunsuria Cup 2019 anjuran Xiamen University Malaysia yang disertai 16 universiti sekali gus membuktikan bahawa program ditawarkan KUIS menitikberatkan pencapaian dari segi rohani dan jasmani.

Katanya, kajian dan penyelidikan yang dijalankan pensyarah KUIS melalui geran Kerajaan Negeri seperti aplikasi e-Gadis pula banyak membantu menaikkan nama KUIS di persada nusa dan bangsa dalam membantu menangani isu sosial serta alam sejagat demi kesejahteraan umat.

KUIS juga memeterai perjanjian persefahaman dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) antarabangsa seperti EKUITAS Bandung, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Universiti Islam Sultan Syarif Ali Brunei.

Katanya, langkah ini membuka era baru kepada KUIS dalam dunia akademi di mana program mobiliti seperti pertukaran pelajar dan pensyarah, penerbitan, persidangan, penyelidikan, perkongsian kepakaran serta perundingan telah dilaksanakan dengan jayanya.

Ab Halim berkata, jaringan kerjasama ini dipergiatkan lagi dengan IPT luar negara yang lain seperti Vietnam, Singapura, Turki dan Jepun khususnya dalam bidang industri halal dan teknologi terkini.


Pengarang :