Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan Langkawi (FRI Langkawi) Nik Nazli Effendy Ramli menunjukkan ‘laktut’ yang tumbuh memenuhi ‘plate atau frame’, pada 11 September 2019. –Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Laktut: Kajian mula tunjuk hasil, pastikan bekalan konsisten

LANGKAWI, 11 SEPT: Penggemar ‘laktut’ mungkin tidak perlu lagi menunggu untuk mendapatkan rumpai laut tersebut hanya pada musim tertentu berikutan usaha dijalankan sekumpulan penyelidik di Institut Penyelidikan Perikanan Langkawi (FRI Langkawi) bagi memastikan bekalan secara konsisten, mula menunjukkan hasil.

Sejak Februari lepas, lima penyelidik di Cawangan Tisu Kultur Rumpai Laut FRI Langkawi telah melakukan kajian ke atas 40 kilogram (kg) laktut yang diambil dari kawasan Sungai Kilim dan berjaya menambah jumlah rumpai laut dianggap ‘super food’ Malaysia itu kepada lebih 100 kg.

Bercakap kepada Bernama, Pegawai Penyelidik FRI Langkawi, Nik Nazli Effendy Ramli berkata, pihaknya menjalankan kajian laktut secara ‘monoculture’ dan ‘polyculture’ untuk melihat kaedah terbaik bagi tujuan perladangan komersil rumpai laut itu.

“Untuk kajian monoculture, laktut diletakkan di atas ‘plate’ atau ‘frame’ yang diperbuat daripada PVC dan jaring HDPE berukuran 40 cmx40 cm. Pada setiap plate tersebut kita letak 500 gram laktut dan hasilnya dalam tempoh 40 hari untuk proses tuaian rumpai laut itu semakin bertambah hingga 1.5 kg,” katanya dan menambah pihaknya kini sudah mempunyai 100 ‘plate’ atau ‘frame’ laktut.

Nik Nazli Effendy berkata, kajian laktut secara polyculture pula dibuat dengan memasukkan rumpai laut itu ke dalam dua tangki kanvas bersama ikan siakap dan ketam.

“Kajian ini juga menarik kerana kita dapat lihat laktut di dalam tangki kanvas bersama ikan siakap memiliki pertumbuhan sangat cantik manakala laktut di dalam tangki kanvas bersama ketam dilihat tidak berapa sesuai kerana menghasilkan buah yang tidak berapa cantik.

“Namun, begitu kita akan terus memantau kajian ini dengan merekodkan proses pertumbuhan hidupan ini dan pada masa yang sama kita buat kajian mengenai kemasinan, kualiti air, faktor cahaya serta suhu supaya prosesnya sama seperti semasa hidup liar supaya apabila diternak nanti bekalan dapat diperoleh sepanjang masa,” katanya.

Laktut atau nama saintifiknya ‘caulerpa sp’ dijual sekitar harga RM15 hingga RM18 sekilogram adalah sejenis rumpai laut bermusim yang lazimnya dimakan penduduk setempat sebagai salad atau ulam, dicecah bersama air asam.

Biarpun kajian masih dilakukan, Nik Nazli Effendy berkata, FRI Langkawi sudah mula mendapat permintaan daripada komuniti setempat di sekitar pulau ini serta pertanyaan dari beberapa institusi pengajian tinggi yang ingin tahu mengenai kajian laktut yang dilakukan oleh pihaknya.

“Penduduk tempatan di pulau ini memang tahu mengenai laktut, cuma mereka agak ‘terkejut’ FRI Langkawi sudah berjaya menghasilkannya di luar musim. Bagi orang luar pula mereka tidak sangka di Langkawi pun ada rumpai laut kerana ada yang beranggapan rumpai ini dibawa dari Sabah,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :