BUDAYARENCANA

Lambakan filem adiwira, di manakah noktahnya?

Oleh Nazreen Coklat

Sedar atau tidak, dunia kini hidup dengan harapan suatu hari akan hadir sekumpulan adiwira menyelesaikan kegilaan yang melanda dunia. Ini disebabkan lambakan filem-filem adiwira. Tidak cukup dengan filem, Marvel di San Diego Comic Con mengumumkan lima siri televisyen akan dihasilkan antara 2020 hingga 2021. Ia bakal ditayang melalui servis penyiaran atas talian Disney Plus. Sejak 2008, Marvel menerbitkan lebih 23 filem dengan “Avengers: Endgame” (2019) menandai tamatnya Infinity Saga selama 11 tahun. Kini memasuki fasa keempat, Marvel menjanjikan khalayak lima lagi filem baharu.

Sebenarnya,  ramai penggiat filem awalnya meramalkan kemunculan filem adaptasi komik tidak kekal lama. Namun, keadaan sebaliknya berlaku. Khalayak dari pelosok dunia seperti tidak jemu. Peonton terus meminta agar filem sebegini dihasilkan dan mereka teruja melihat keupayaan manusia menembak laser daripada tangan dan terbang menggunakan mantel. Apakah yang membuatkan situasi sedemikian terus berlaku? Adakah Marvel begitu handal menghasilkan filem? Apakah cita rasa penonton tidak boleh diubah? Atau, adakah kita memang betul-betul mengharapkan kewujudan adiwira?

Mengikut kajian di Universiti Harvard, beberapa faktor yang menyumbang kepada obsesi atau kegilaan terhadap filem adiwira. Faktor pertama dikatakan berpunca akibat krisis ekonomi yang melanda dunia pada 2008. Pada saat masyarakat mula kehilangan pekerjaan dan rumah, filem adiwira mula mengelilingi orbit pemasaran filem. Masyarakat tiba-tiba mahu melarikan diri (escapism) ke dunia berbeza yakni adiwira sentiasa menang dan perbezaan antara baik dan buruk mudah diberitahu. Akibatnya, filem-filem blockbuster dengan pengakhiran tragis seperti “Braveheart” (1995) dan “Gladiator” (2000) dianggap ketinggalan zaman. Tiada penerbit mahu menggabungkan situasi ekonomi yang suram dengan filem yang menyedihkan. Maka, filem-filem adiwira yang wiranya atau superhero sentiasa menang ke atas kejahatan menjadi daya penarik buat orang awam walaupun kemelesetan ekonomi tidaklah seteruk 1930-an yang ketika itu mempopularkan pelbagai komik.

Faktor kedua berhubung kait dengan kebangkitan perisian komputer yang menjadikan kesan khas lebih realistik dan boleh dipercayai. Ia sesuatu yang filem adiwira dahulu tidak dapat lakukan. Bandingkanlah jerung kaku dalam filem “Jaws” (1975) yang dianggap kesan khas terbaik pada masa itu dengan pelbagai makhluk yang dihasilkan komputer dalam atmosfera filem-filem adiwira hari ini. Bagai langit dengan bumi. Pereka kesan khas memiliki pilihan lebih luas untuk bereksperimen serta perisian dan teknologi yang lebih daripada 20 tahun lalu. Mahukan Captain America melonjak ke langit? Maka, berdiri Chris Evans di hadapan skrin hijau dan langit dijelmakan di belakangnya. Ant-Man mahu dimasukkan dalam suit Iron Man dan mensabotajnya? Ia tetap boleh dicapai. Sedangkan “Titanic” (1997) memerlukan  replika sebuah kapal tetapi pencitraan menggunakan komputer hari ini dapat menghasilkan pelbagai aksi dan adegan adiwira melalui manipulasi digital piksel. Imej yang tampak meyakinkan menyebabkan penonton sepenuhnya tenggelam dalam dunia naratif rekaan. Percaya atau tidak, babak Peter Parker di padang tulip dalam “Spiderman-Far From Home” (2019) menggunakan teknik CGI atau Computer Generated Imagery sepenuhnya sedangkan tiada satu kelopak bunga tulip pun dibawa dari Belanda ke Hollywood. Penonton dimanipulasikan dengan CGI iaitu penggambaran berlaku di Belanda.

Faktor ketiga yang menyebabkan filem adiwira terus menjadi kegilaan ialah populariti filem itu seusia dengan penonton. Kini, walaupun filem-filem adiwira diklasifikasi sebagai PG-13, ia tetap dihasilkan dengan fokus terhadap golongan dewasa yang membesar dengan komik dan ada pendapatan tetap atau boleh guna. Golongan dewasa kebanyakannya Generasi X dan Millennials yang membaca komik sewaktu zaman kanak-kanak pada 1970-an dan 1990-an memiliki wang untuk menonton filem dan membeli pelbagai merchandise bertema adiwira kegemaran mereka. Sementara kanak-kanak pula boleh merayu ibu bapa mereka membeli tiket. Ibu bapa berkemungkinan besar bersetuju kerana mahu berkongsi nostalgia membesar bersama adiwira kegemaran mereka.

Di sebalik kegilaan terhadap filem-filem adiwira, ia sememangnya memberi kesan terhadap industri filem sama ada pada peringkat antarabangsa mahupun tempatan. Ia jelas menutup perbincangan terhadap filem yang hadir dengan pemikiran tahap tinggi dan bermakna. Jika diteliti secara kasar, sejak Januari hingga Ogos 2019, khalayak masih tidak berhenti-henti berbicara mengenai filem “Avengers: Endgame” di media. Walhal, sepanjang tempoh itu ada filem yang menuntut perhatian untuk dibicarakan. Misalnya, “Velvet Buzzsaw” (2019) lakonan Jake Gyllenhaal iaitu filem satira seram yang bijak mengkritik golongan yang meletakkan karya seni sebagai barangan dagangan kapitalis. Seterusnya filem “Late Night” (2019) hasil penulisan skrip dan lakonan Mindy Kaling yang berani berdiskusi tentang diskriminasi gender di Hollywood sedangkan hal itu dikatakan tabu untuk dibicarakan. Malah, ada banyak lagi filem seperti “Parasite” (2019), “US” (2019), “The Farewell” (2019) “Book Smart” (2019), “Bird of Passage” (2019) dan lain-lain lagi. Filem-filem itu kurang mendapat perhatian atau tidak dipedulikan langsung hingga mengakibatkan pemikiran tinggi yang dibawa bersama dibiarkan sepi dan tidak berkembang kerana tiada perbincangan mengenainya. Khalayak leka terhadap naratif fiksyen yang dibawa filem-filem adiwira yang  hanya menyumbang kepada budaya popular.

Seterusnya, filem-filem adiwira juga menekan industri filem tempatan ke tahap tidak mampu berdaya saing. Setakat Ogos 2019, hanya dua filem tempatan yang betul-betul mendapat perhatian penonton iaitu “Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal” (2019) dan “Boboiboy Movie 2” (2019). “XX Ray 3” arahan Aziz M. Osman yang suatu ketika dahulu mendapat sambutan seperti tidak wujud untuk tayangan di pawagam. Ini perkara membimbangkan kerana untuk mencalonkan lima filem terbaik bagi Festival Filem Malaysia kelak  mungkin menjadi perkara sukar. Bila tiadanya khalayak penonton, pastinya penghasilan filem berkurangan. Malah, untuk filem tempatan berdaya saing dengan filem-filem adiwira juga bukan mudah. Perkara ini terbukti apabila hampir tiada filem tempatan yang ditayang sepanjang musim “summer blockbuster” dari Hollywood (Jun hingga Ogos) berlangsung.

Kesan terbesar ialah menjadikan masyarakat tempatan sebagai bangsa “white worshipping”. Secara nyata, 99 peratus watak adiwira dalam filem-filem adaptasi komik berkulit putih. Berbeza pada awal kemunculan filem seperti “Superman” dan “Batman” yang berpusatkan semangat jati diri Amerika. Filem-filem adiwira Marvel diperlihat membawa nilai kemanusiaan sejagat. Mereka berkhidmat untuk satu dunia tanpa mengira perbatasan. Kesannya, golongan kulit putih dilihat sebagai bangsa penyelamat dan masyarakat menyanjung mereka. Keadaan ini tiada bezanya seperti zaman penjajahan. Masyarakat tempatan terus terperangkap dalam krisis jati diri yang akhirnya merugikan negara dalam usaha membentuk identiti tersendiri.

Secara tuntas, masyarakat harus berhenti sejenak dan memikirkan semula apakah yang ditonton oleh mereka? Filem-filem adiwira umpama minuman karbonat yang dibungkus dengan berwarna-warni, begitu sedap untuk diminum tetapi tidak mendatangkan kebaikan, malah jika berlebihan boleh menyebabkan kemudaratan. Tidak salah untuk escapism dengan filem-filem sedemikian tetapi jika kerap pemikiran sentiasa berada pada tahap sama. Lambakan filem adiwira harus menemukan noktahnya walaupun agak mustahil dalam masa terdekat ini.


Pengarang :