Keadaan jerebu yang merebak ke Perak pada 17 September 2019. Foto Facebook Perak Today
AGENDANASIONAL

Lapan sekolah di Manjung tutup

IPOH, 17 SEPT: Sesi persekolahan sebelah petang di lapan Sekolah Menengah di daerah Manjung terpaksa ditangguhkan hari ini berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada paras sangat tidak sihat iaitu melebihi 200.

Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Manjung, SMK Tok Perdana, SMK Ambrose, SMK Dato Idris dan SMK Ahmad Boestamam.

Beliau berkata, turut terjejas ialah SMK Seri Samudera, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Nan Hwa dan SMK Methodist ACS Sitiawan.

“Ya, kita akan menutup sekolah untuk sesi petang di daerah Manjung hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai penutupan sekolah-sekolah di daerah berkenaan.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Seri Manjung menjadi lokasi terkini mencatatkan kualiti udara sangat tidak sihat mulai pukul 12 tengah hari tadi iaitu 203 dan meningkat sehingga 217 setakat pukul 3 petang ini.

Sementara itu, empat lagi kawasan di Perak mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Taiping (104) serta Tasek dan Pegoh di Ipoh masing-masing 110 dan 109.

– BERNAMA


Pengarang :