Selangor akan memasang 1,553 struktur rangkaian 5G bagi fasa dua di lima daerah pada tahun ini bagi memberi perkhidmatan kelajuan jalur lebar 10 gigabit per saat (gbs). Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Laporan pelaksanaan 5G siap bulan depan

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Laporan akhir mengenai strategi holistik pelaksanaan teknologi mudah alih generasi kelima (5G) di negara ini dijangka dilengkapkan Oktober ini.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak berkata, laporan interim oleh Pasukan Petugas Khas 5G Negara, bakal diserahkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

“Laporan itu juga merupakan pendirian Malaysia yang akan dibawa pada ke ‘World Radiocommunication Conference’ (WRC) 2019 yang akan berlangsung di Mesir dari 28 Oktober hingga 22 November depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan ‘GSMA Mobile 360 Series’ di sini, hari ini.

Al-Ishsal berkata, Pasukan Petugas Khas 5G Negara yang diumumkan Oktober tahun lalu terdiri empat kumpulan kerja, merangkumi idea atau cadangan perniagaan, kawal selia, infrastruktur serta pengurusan dan pengagihan spektrum.

Sepanjang ditubuhkan pasukan itu telah melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk menjalankan ujian percubaan 5G, yang terdiri daripada pameran 5G dan ujian di lapangan, untuk memahami keupayaan teknikal dan prestasi teknologi 5G.

Semalam, berucap di majlis sama Gobind berkata ujian 5G yang dilancarkan di Putrajaya dan Cyberjaya April lalu, akan diperluaskan ke seluruh negara dengan projek-projek demonstrasi 5G bermula pada bulan Oktober ini.

Beliau berkata teknologi 5G di Malaysia dijangka dilancarkan pada 2021.

Sementara itu, GSMA Mobile 360 Series yang diadakan bermula semalam hingga 26 Sept ini menyediakan platform yang dapat memupuk penglibatan serantau menerusi topik yang memberi kesan kepada industri mudah alih pada skala tempatan dan global.

-BERNAMA


Pengarang :