Rajiv Rishyakaran melayan pengunjung yang hadir jamuan sempena Sambutan Hari Malaysia yang dianjurkan Persatuan Pasar Tani di Seksyen 17/14, Petaling Jaya pada 12 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lebih 200 Jalur Gemilang diedar di pasar tani

PETALING JAYA, 12 SEPT: Lebih 200 bendera Jalur Gemilang diedarkan kepada pengunjung dan peniaga di Pasar Tani, Seksyen 17/14, di sini, hari ini.

Bendera itu diedarkan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah sempena meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Rajiv berkata, inisiatif itu diusahakan oleh Persatuan Pasar Tani terbabit yang mahu mewujudkan semangat patriotik terutama dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya bangga melihat semangat kerjasama dalam kalangan peniaga dan pengunjung di sini yang saban tahun komited melaksanakan pelbagai sambutan meraikan hari-hari penting.

“Tahniah saya ucapkan dan inilah semangat yang kita mahukan. Malah, saya optimis program ini akan berterusan kerana selain dapat memupuk semangat cintakan negara secara tidak langsung hubungan antara komuniti turut dapat dieratkan,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Rajiv Rishyakaran pengunjung yang hadir jamuan Sambutan Hari Malaysia yang di anjurkan Persatuan Pasar Tani di Seksyen 17/14, Seksyen 17, Petaling Jaya pada 12 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pasar Tani Seksyen 17/14, Zainal Abidin berkata, inisiatif program itu dilaksanakan adalah bertujuan meraikan Hari Malaysia selain menarik pengunjung singgah ke pasar terbabit.

Katanya, bukan sahaja Hari Malaysia namun pihaknya turut menganjurkan program sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali di pasar terbabit bertujuan meraikan komuniti yang pelbagai kaum di negara ini.

“Hari ini, kita juga mengadakan acara memasak secara beramai-ramai dalam kalangan peniaga dan komuniti sebelum masakan itu dijamu kepada pengunjung,” katanya.

Turut hadir pada jamuan tersebut, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Mengulas mengenai kehadiran pengunjung ke pasar terbabit, katanya, setiap minggu pasar ini mendapat sambutan memberangsangkan malah ia menjadi tumpuan golongan atasan.

“Antara yang gemar berkunjung ke sini ialah Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa golongan atasan lain,” katanya.


Pengarang :