AGENSI SELANGOR

Lebih 2,000 kanak-kanak bentuk formasi Jalur Gemilang

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 11 SEPT: Lebih 2,000 kanak-kanak di bawah program Kids Parade berjaya membentuk formasi Jalur Gemilang bagi meraikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Selangor, di Stadium Malawati, di sini, hari ini.

Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhammad berkata, program seperti itu dapat memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan kanak-kanak.

“Program ini adalah salah satu inisiatif kerajaan dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pendidikan Selangor dan Majlis Permuafakatan tadika Selangor (MPKS) untuk membebaskan masyarakat dari sifat-sifat negatif supaya menjadi negara yang lebih baik,” katanya.

Kanak-kanak dari pelbagai bangsa memegang bendera Malaysia pada program Kids Parade Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 11 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kids Parade Selangor sempena Sambutan Hari Malaysia, di Stadium Melawati, hari ini.

Pengarah Program Kids Parade, Abdul Mutalib Islan berkata, tujuan program ini diwujudkan untuk mengukuhkan perpaduan serta memelihara semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

“Seramai 2,019 kanak-kanak dari 162 tadika hadir dari seluruh Selangor termasuk tadika badan bukan kerajaan, swasta dan komuniti,” katanya kepada SelangorKini.

Yang Dipertua PERKAWANIS, Masdiana Muhammad mengibarkan bendera Malaysia pada perasmian program Kids Parade Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 11 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Sementara itu, terdapat juga persembahan menarik yang dipersembahkan oleh peserta seperti teater muzikal perpaduan, persembahan silat, silambam dan taekwondo.

Pada akhir program, peserta menyanyikan Jalur Gemilang dan Tanggal 31 Ogos beramai-ramai bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan.


Pengarang :