Perasmian Program “Osh Awareness For Future Young Employers adn Workers” oleh Presiden & Naib Canselor UNISEL, Prof Dr Mohammad Redzuan di UNISEL Kampus Shah Alam pada 26 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 3,000 kes kemalangan di tempat kerja sehingga Jun

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 SEPT: Sebanyak 3,749 kes kemalangan pekerjaan direkodkan di seluruh negara bermula Januari hingga Jun lalu ekoran kegagalan majikan dan pekerja mematuhi piawaian keselamatan di tempat kerja.

Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, mengikut statistik dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Kementerian Sumber Manusia, sebanyak 5,031 kes dicatatkan sepanjang tahun lalu.

“Bagaimanapun, kadar kemalangan di industri pekerjaan menunjukkan penurunan kepada 2.4 peratus tahun lalu, berbanding 2.93 peratus pada 2017 bagi setiap 1,000 pekerja.

“Kita mengharapkan trend penurunan ini akan berterusan bagi tahun akan datang,” katanya pada Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) ‘Kesedaran Majikan dan Pekerja Muda Masa Hadapan’, di Dewan Kuliah 2, UNISEL Shah Alam, di sini, semalam.

 

Turut hadir, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor, Mustafa Draman; Penolong Setiausaha Kehormat Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Daman Huri Mohammad serta Timbalan Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Selangor, Michelle Hah.

Presiden & Naib Canselor UNISEL, Prof Dr Mohammad Redzuan bergambar bersama tetamu kehormat dan peserta ketika Program “Osh Awareness For Future Young Employers and Workers” di UNISEL Kampus Shah Alam pada 26 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Melihat kepada senario itu, Mohammad Redzuan berkata, usaha bagi mengurangkan kemalangan semasa bekerja selain mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat harus menjadi tanggungjawab semua pihak.

Katanya, sifat tanggungjawab seharusnya lahir daripada kesedaran individu dalam memberi tumpuan terhadap kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Aspek keselamatan di UNISEL misalnya sentiasa dipantau rapi oleh Dr Mohd Zubairy (Pengarah Pusat Pengurusan Risiko Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dan akan dilaporkan kepada Mesyuarat Eksekutif.

“Hal ini supaya kita sedar bahawa ia bukan sekadar keselamatan untuk pelajar sahaja, tetapi turut mengambil kira keselamatan kontraktor yang datang ke sini dengan memastikan mereka mematuhi peraturan asas seperti memakai topi serta pakaian sepatutnya,” katanya.


Pengarang :