BERITA UTAMA

Lebih 60 peratus syarikat dengan sijil halal adalah milik bukan Islam

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Data halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menunjukkan lebih 60 peratus syarikat dan pengeluar produk yang memperoleh sijil halal adalah syarikat multinasional yang dimiliki oleh orang bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata ini kerana syarikat bukan Islam sedar akan kepentingan memiliki pensijilan halal yang boleh membawa produk mereka jauh dalam industri selain produk mereka bukan sahaja diterima secara meluas dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Sebaliknya industri Bumiputera pula masih banyak lagi yang belum memohon untuk memiliki sijil halal daripada kami… ini yang saya musykil kenapa mereka tidak berbuat demikian,” katanya dalam ucapannya di HALFEST JAKIM 2019 edisi Ke-8 dari 4 hingga 8 Sept, bertempat di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan dekat sini.

Mujahid berkata dengan persijilan halal JAKIM itu, dapat dipastikan sesuatu produk itu bukan sahaja menggunakan bahan halal tetapi juga bersih tidak kira ia dikeluarkan syarikat milik Muslim atau bukan Muslim.

Oleh itu syarikat-syarikat milik Bumiputera dan Muslim yang belum mendapat pensijilan halal bagi produk atau perkhidmatan mereka digesa untuk memohon perakuan itu daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Dengan adanya pensijilan halal itu, syarikat Bumiputera juga dapat bersaing dengan syarikat multinasional, bukan sahaja dalam negara bahkan di luar… ia juga memberi akses yang meluas, dan produk itu sendiri diyakini serta selamat digunakan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mujahid juga berkata Islam tidak mengajar umatnya untuk memilih produk berdasarkan bangsa dan kaum tertentu tetapi menekankan kepentingan membeli barangan halal serta bersih.

“Kita perlu fokus kepada dua teras iaitu Yakini Halal Malaysia dan Buy Malaysian Product First… kita jadikan halal sebagai ‘benchmark’ kita.

“Sebagai Muslim, apabila saya ke luar negara, saya mencari makanan halal… saya akan tanya halal atau tidak, saya tidak tanya bangsa apa,” katanya.

Turut hadir pada majlis yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu ialah Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee dan Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia JAKIM, Datuk Seri Sirajuddin Suhaimee.

-BERNAMA


Pengarang :