AGENDANASIONAL

Lebuhraya Guthrie ditutup sementara 8 September

OLEH: ALIFF HAIKAL

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada acara GCE-ELMINA Dualthon 2019 anjuran Kumpulan Syarikat PROLINTAS, pada 8 September ini.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat Projek Lintasan Kota Holdings Berhad (PROLINTAS), Mustafa Kamal Arrifin berkata, penutupan sementara itu dijadualkan bermula 3 pagi hingga 3 petang.

“Penutupan jalan membabitkan kesemua persimpangan masuk dan keluar dari Plaza Tol Bukit Jelutong hingga Plaza Tol Lagong,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pengguna lebuh raya dari utara menghala ke Shah Alam, Klang dan selatan disaran supaya menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (NSE) dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

Sementara bagi pengguna dari utara yang menghala ke Shah Alam, Mustafa Kamal berkata, mereka digalakkan menggunakan Lebuhraya LATAR untuk ke Kuala Lumpur, Kepong atau Puncak Alam.

“Laluan alternatif disediakan kepada pengguna dari Shah Alam menghala ke utara supaya menggunakan Jalan Kuala Selangor ke Puncak Alam dan seterusnya ke Sungai Buloh,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1-300-88-0035 untuk sebarang pertanyaan dan layari www.gosportz.my atau Facebook PROLINTAS Highways untuk maklumat lanjut.


Pengarang :