AGENDANASIONAL

Lelaki ditahan terlibat kes bunuh wanita dibungkus selimut

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Polis menahan seorang lelaki tempatan, disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang wanita yang mayatnya ditemui berbungkus dalam selimut di sebuah pangsapuri di Prima Damansara, Petaling Jaya, Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek ditahan pada kira-kira 1.30 pagi tadi selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin, Negeri Sembilan.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berumur 40 tahun itu diperoleh di Mahkamah Petaling Jaya pagi ini, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada Rabu lepas, mayat seorang wanita ditemui berbungkus dalam selimut yang diletakkan di dalam timbunan bantal di pangsapuri berkenaan.

Hasil bedah siasat polis sebelum ini mendapati wanita itu dipercayai mati akibat sesak nafas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

– BERNAMA


Pengarang :