AGENDANASIONAL

Lelaki serang bekas isteri, mentua dibebas

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Seorang lelaki yang ditahan kerana didakwa menyerang bekas isteri dan bapa mentua yang tular di media sosial sejak semalam, telah dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.

Suspek berusia 34 tahun itu, dibebaskan pada Isnin lepas atas faktor kesihatan selepas mengemukakan surat rujukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada bekas isteri suspek pada 4 September lepas yang mendakwa diri serta bapanya dipukul suspek.

Beliau berkata, suspek telah hadir memberi keterangan pada Isnin lepas dan dibebaskan pada hari yang sama selepas mengemukakan surat rujukan perubatan berkenaan.

“Hasil laporan penuh perubatan yang dikemukakan suspek telah diterima oleh pihak saya dan laporan kes ini akan dirujuk kepada kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shafa’aton berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Semalam, tular satu video berdurasi satu minit setengah memaparkan seorang individu didakwa memukul bekas isteri serta bapa mentuanya selain paparan gambar menunjukkan kedua-dua mereka mengalami kecederaan di bahagian kepala.

– BERNAMA


Pengarang :