Amirudin Shari menunjukkan buah durian jenis XO ketika mengunjungi ruang pameran peserta Selangor AgroFest 2019 di Bulatan Bazarena, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lima dasar sektor pertanian pastikan kelangsungan bekalan makanan

SHAH ALAM, 7 SEPT: Lima dasar utama sektor pertanian menjadi teras Kerajaan Negeri bagi memastikan bekalan makanan atau ‘food security’ berada pada paras selamat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dasar itu itu adalah pertanian bernilai tinggi, permodenan pertanian, pembangunan agropreneur, program galakan pemasaran dan agro pelancongan yang sedang dalam proses pelaksanaan.

Katanya, tumpuan untuk meningkatkan sektor pertanian makanan akan diberi penekanan lebih tinggi, selain meningkatkan pendapatan usahawan serta amalan pertanian lestari (sustainable agriculture).

“Hasil di sektor yang bernilai tinggi memerlukan pengalaman dan kos penyediaan infrastruktur menjadi kekangan utama selain daripada ilmu pengetahuan berkenaan pelaksanaan projek itu.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri mahu menjadikan syarikat yang berwibawa dan berpengalaman untuk melaksanakannya sebelum dijadikan mentor kepada pengusaha baharu.

“Kita juga mempunyai jumlah penduduk yang tinggi dan menyebabkan kekurangan tanah, justeru petani perlu membabitkan diri dengan teknologi tinggi dan berkonsepkan pertanian moden,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Selangor Agrofest 2019: Pemodenan Pertanian ke Arah Kehidupan Lestari, di Bulatan Bazerana, di sini.

Hadir sama EXCO Kerajaan Negeri, Ir Izham Hashim dan Dato’ Abdul Rashid Asari.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut mengatasi masalah usia yang semakin meningkat dalam kalangan agropreneuer sedia ada.

Katanya, program kesedaran dan galakan untuk generasi muda turut diberi perhatian melalui kaedah penggunaan peralatan moden yang mula menarik minat golongan itu.

“Selaras penggunaan jualan dalam talian (online trading) yang menjadi trend pemasaran ketika ini, satu program khusus akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Melalui program itu, lapisan orang tengah dapat dikawal yang akhirnya pembeli dan penjual khususnya golongan agroprenuer dapat menikmati jualan dengan harga menarik dan menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya.

Untuk rekod, Keluaran Dalam Negara Kasar pertanian bagi Selangor hanyalah 1.5 peratus, pada 2018 dengan nilai RM3.98 bilion.


Pengarang :