Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lima puluh banduan diberi peluang berkerja dalam projek KVDT 2

RAWANG, 3 SEPT: Lima puluh banduan bakal diberi peluang bekerja dalam projek menaik taraf kemudahan infrastruktur landasan kereta api berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2) sebagai usaha memulihkan mereka selain dapat mengurangkan penggunaan pekerja asing.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, melalui Program Reintegrasi Penghuni-Industri itu, banduan akan mula bekerja pada Oktober atau November ini melibatkan kerja baik pulih landasan kereta api Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Simpang Pelabuhan Klang berdekatan Mid Valley ke Pelabuhan Klang, dengan jarak 265 kilometer.

“Yang pertama, kita boleh mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Yang kedua, dapat memulihkan banduan. Kita nak apabila banduan ini keluar dari penjara mereka boleh berintegrasi dengan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek menaik taraf kemudahan infrastruktur KVDT 2 di sini, hari ini.

Loke berkata banduan yang terpilih terlibat secara sukarela dengan kontraktor Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, hasil usaha sama antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd yang mengendalikan projek berkenaan.

Tambah Loke, mereka akan dibayar sekurang-kurangnya gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM1,100.

Terdahulu, Loke menyaksikan majlis menandatangani memorandum kerjasama Latihan Orang Diselia (ODS) Dalam Bidang Industri Pembinaan Landasan Keretapi KVDT 2.

Ia ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak dan Pengerusi Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, Jeneral Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata banduan yang bakal bekerja dalam projek itu adalah mereka yang sedang menjalani pemulihan dan akan keluar dari penjara dalam masa yang terdekat.

Banduan akan dipantau dan dikawal oleh pegawai penjara selain perlu patuh dengan peraturan yang ditetapkan pihak penjara.

“Mereka akan tinggal dalam tempoh enam bulan hingga setahun dan selepas tamat tempoh sebagai banduan, dengan kemahiran yang ada mereka akan terus berada dalam industri pembinaan ini.

“Jika ada pelanggaran disiplin, banduan ini akan dibatalkan kelulusan ini dan perlu pulang ke penjara semula,” katanya.

Projek KVDT 2 dilancarkan hari ini dengan kos RM4.475 bilion.

-BERNAMA


Pengarang :