Asap dari syarikat minyak Aramco di Abqaiq kira-kira 60 kilometer dari Dhahran, Arab Saudi yang diserang puak Houthi pada 14 September 2019. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Loji minyak Arab Saudi diserang puak Houthi

RIYADH, 15 SEPT: Kumpulan Houthi di Yemen yang pro Iran mengaku melakukan dua serangan ke atas loji minyak Arab Saudi pada Sabtu lalu, sekali gus melumpuhkan separuh pengeluaran minyak negara itu..

Laporan Reuters berkata, serangan itu, menyebabkan bekalan minyak sebanyak 5.7 juta tong minyak sehari atau lebih lima peratus bekalan minyak global terputus, sebut Saudi Aramco, syarikat petroleum milik negara itu.

Serangan yang berlaku sebelum subuh itu dilancarkan susulan serangan pertama yang dilakukan lebih awal di sempadan negara itu terhadap kapal tangki Saudi yang terletak di perairan Teluk Parsi.

Bagaimanapun, serangan kali ini paling buruk sehingga mengakibatkan pengeluaran minyak lumpuh buat sementara.

Arab Saudi ialah pengeksport minyak terbesar dunia dengan lebih tujuh juta tong minyak dibawa keluar dari negara itu setiap hari.

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman telah menghubungi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberitahu bahawa Riyadh memiliki keupayaan untuk berdepan dan menangani serangan kumpulan pengganas itu, lapor agensi berita Saudi, SPA.

Pada masa sama, Rumah Putih mengutuk serangan tersebut dan Trump memaklumkan kepada Putera Mahkota Saudi bahawa Washington bersedia untuk bekerjasama dengan negara itu bagi menjamin keselamatan mereka.

Jabatan Tenaga AS pula berkata, mereka bersedia untuk melepaskan simpanan minyak petroleum strategik mereka jika diperlukan.

Setiausaha Tenaga, Rick Perry turut dipetik Reuters berkata, mereka akan bekerjasama dengan Agensi Tenaga Dunia (International Energy Agency), sebuah badan yang bertanggungjawab menyelaras polisi tenaga bagi negara berindustri sekiranya tindakan global diperlukan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Arab Saudi mengetuai pakatan Sunni campur tangan di Yemen pada 2015 bagi menentang kumpulan Houthi.

Arab Saudi juga menyalahkan seteru mereka, Iran yang mengamalkan ajaran Syiah di atas serangan terdahulu yang telah dinafikan oleh Tehran.

Riyadh turut menuduh Iran membekalkan senjata kepada Houthi walaupun dinafikan mereka.

Ketua eksekutif Aramco, Amin Nasser berkata, tiada mangsa terkorban dalam serangan itu.


Pengarang :