Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lokman Noor Adam dipanggil ke Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Polis hari ini mengambil keterangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam bagi membantu siasatan kes klip video lucah yang didakwa membabitkan seorang menteri.

Lokman Noor yang hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada pukul 11.34 pagi dilihat meninggalkan ibu pejabat Polis Persekutuan itu kira-kira satu jam kemudian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi mengesahkan polis mengambil keterangan Lokman Noor hari ini.

“Polis akan ambil lagi keterangan Lokman Noor untuk lengkapkan kertas siasatan yang kemudiannya akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Lokman Noor ketika ditemui pemberita berkata, beliau akan hadir memberi keterangan buat kali kedua kepada polis.

“Saya dimaklumkan yang polis akan ambil keterangan saya sekali lagi namun bila keterangan akan diambil belum ditetapkan,” katanya.

Lokman Noor berkata, beliau telah menyerahkan laporan asal analisis video berkenaan oleh syarikat Verden Forensics di United Kingdom setebal 55 muka surat kepada polis.

-BERNAMA


Pengarang :