AGENDANASIONAL

LRA Sungai Semenyih dicemari bau pelarut

SHAH ALAM, 29 SEPT: Pencemaran bau di sumber air yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa ditutup selama kira-kira 10 jam bermula pukul 5 petang semalam disyaki berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa tidak dibenarkan ke dalam sistem pembentungan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata lokasi pembuangan sisa tidak dibenarkan itu dikesan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menjalankan siasatan ke atas sistem ‘manhole’ atau lurang jaringan pembentung awam di Bandar Bukit Mahkota, Bangi dekat sini.

“Hasil siasatan mendapati satu lurang berbau pelarut di sekitar kawasan perumahan Bandar Bukit Mahkota yang berkemungkinan menjadi lokasi utama kemasukan pelarut sebelum ke loji kumbahan milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

“Sisa pembuangan ini tidak dapat dirawat oleh loji kumbahan dan menyebabkan bau pelarut yang kuat dari pelepasan efluen loji IWK ini yang mengalir ke Sungai Beranang sebelum ke Sungai Semenyih yang merupakan sumber air kepada LRA Sungai Semenyih,” katanya.

Hee berkata bagi mengatasi masalah pencemaran bau berkenaan, pihaknya telah membuat pendosan ‘activated carbon’ atau karbon diaktifkan sebanyak 575 kilogram pada sekitar 3 pagi tadi di loji berkenaan dan berjaya menurunkan kadar bau kepada satu ton di pelepasan efluen loji.

“Hujan lebat pada malam semalam dan awal pagi tadi telah meningkatkan kadar pencairan sungai dan menyebabkan penurunan bau di Sungai Semenyih.

“Berikutan itu LRA Sungai Semenyih telah mula beroperasi sepenuhnya pada 4.30 pagi tadi,” katanya.

Hee berkata LUAS bersama pihak terlibat sedang berusaha mengenal pasti pihak yang melakukan pencemaran berkenaan dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menangani isu berkenaan.

“Pihak terbabit yang melakukan pencemaran ini boleh dikenakan hukuman berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh JAS atau Seksyen 79 Enakmen LUAS 1999 tertakluk kepada hasil analisa pensampelan daripada Jabatan Kimia Malaysia,” katanya.

Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dalam kenyataan berkata LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya akibat pencemaran bau dengan bacaan lima ton, di sumber air mentah Sungai Semenyih.

Gangguan tidak berjadual itu menyebabkan sebanyak 204 kawasan melibatkan 372,031 akaun pelanggan berdaftar di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.

-BERNAMA


Pengarang :