Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MA63: Anwar jamin selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

KOTA KINABALU, 18 SEPT: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menyelesaikan hal berkaitan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara baik apabila tiba giliran menjadi perdana menteri kelak.

Beliau berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil serius tuntutan itu, malah membentuk satu Jawatankuasa Khas yang turut dianggotai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk berbincang berhubung kaedah pelaksanaan dengan lebih berkesan.

“Ini menunjukkan Pakatan Harapan (PAKATAN) serius dalam komitmennya dan orang Sabah serta Sarawak faham bahawa kita akan pastikan komitmen ini akan dilaksanakan.

“Insya Allah, kemajuannya sangat baik sekarang dan apabila datang giliran saya (menjadi perdana menteri) saya akan pastikan ia selesai dengan begitu baik,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Serentak Keadilan Sabah, Anwar

Anwar berkata, isu MA63 bukanlah soal kecil kerana ia sudah lama tertangguh, namun terdapat banyak kemajuan dicapai dalam menyelesaikan isu terbabit, sekali gus menolak tanggapan sesetengah pihak pembangkang yang mendakwa tiada perubahan dilakukan kerajaan sekarang.

Beliau berkata, berita baik berhubung penubuhan jawatankuasa khas itu diumumkan Tun Dr Mahathir pada sambutan Hari Malaysia 2019 di Kuching, Sarawak kelmarin membuktikan kerajaan PAKATAN komited untuk merealisasikan janji manifesto pada pilihan raya lalu.

Kelmarin, Tun Dr Mahathir berkata kerajaan PAKATAN masih meneruskan usaha untuk mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak termasuk menyelesaikan beberapa perkara berbangkit sebagaimana diperuntukkan dalam MA63 termasuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan perjanjian itu.

Kerajaan juga bersetuju menyerahkan sepenuhnya urusan pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan Sabah kecuali perkara berkaitan dengan keselamatan yang masih terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata gabungan UMNO dan PAS menerusi Piagam Muafakat Nasional bukanlah menjadi ancaman kepada PAKATAN, namun, ujian terbesar adalah pemimpinnya yang menerajui tampuk pentadbiran kerajaan sekarang dalam memastikan gabungan itu terus tetap menjaga kepentingan rakyat pelbagai kaum.

Beliau berkata tidak ada tempat untuk PAS dan Barisan Nasional (BN) sekiranya PAKATAN terus menetapkan pendirian untuk sentiasa fokus kepada kepentingan rakyat pelbagai kaum menerusi usaha membangunkan negara dengan menyediakan kemudahan pendidikan serta kesihatan bermutu tinggi selain meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan mengurangkan pengangguran.

Katanya, gabungan UMNO-PAS bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini kedua-dua parti berkenaan pernah bergabung dan bekerjasama pada 1969 sebelum PAS dikeluarkan daripada BN pada 1978.

“Sekarang ada percubaan baharu. Tetapi, kalau nak katakan kejutan tak betul sebab ini bukan ancaman kita. Bagi saya, ujian terbesar masih (pada) kita.

“Kalau kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan tetap dengan pendirian dengan dasar menjaga kepentingan rakyat, saya yakin tidak ada tempat untuk PAS dan BN,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :