Keadaan MH17 yang jatuh ditembak di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
AGENDAGLOBAL

Mahkamah Ukraine bebas lelaki disyaki tembak jatuh MH17

KIEV: Sebuah mahkamah Ukraine hari ini membebaskan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di timur Ukraine pada 2014 dan mengorbankan 298 anak kapal dan penumpang.

Menurut Reuters Hakim, Volodymyr Tsemakh yang dikenal pasti perkhidmatan keselamatan Ukraine sebagai bekas komander pasukan pemisah disokong Rusia di timur Ukraine, perlu dibebaskan segera sementara menunggu siasatan lanjut.

Tsemakh ialah seorang daripada individu yang boleh diserahkan kepada Rusia dalam pertukaran banduan secara besar-besaran.

Minggu lalu, pendakwa raya Belanda menggesa pihak berkuasa di Ukraine tidak membenarkan Tsemakh dihantar ke Rusia kerana bimbang ia akan menjejaskan siasatan jenayah ke atas MH17. Semasa ditembak jatuh, MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pada minggu ini, seorang ahli Parlimen Eropah, Kati Piri dilaporkan berkata, 40 ahli politik Eropah menulis surat kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy dengan gesaan sama.

Presiden Rusia, Vladimir Putin pula hari ini berkata, rundingan pertukaran banduan sedang diputuskan.

`Langkah pertukaran banduan antara Rusia dan Ukraine dilihat sebagai permulaan menjernihkan hubungan kedua-dua buah negara itu’, laporkan agensi berita tersebut.

Satu pasukan siasatan antarabangsa yang diketuai Belanda mengeluarkan waran tangkap antarabangsa ke atas tiga warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine. Daripada tiga nama tersebut ia tidak termasuk Tsemakh.

Penerbangan MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di wilayah yang dikuasai pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.

Pertempuran antara tentera Ukraine dan puak pemisah disokong Rusia di timur Ukraine meragut 13,000 nyawa sejak lima tahun lalu.

Pendakwa raya Belanda dilaporkan berkata, sistem misil yang menembak jatuh MH17 dilancarkan dari sebuah briged antipesawat Rusia, tetapi Moscow menafikan terbabit dalam nahas itu.


Pengarang :