Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional melancarkan aplikasi mudah alih myPTPTN.
BERITA UTAMA

Majikan bantu bayar tunggakan PTPTN diberi pelepasan cukai

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Setiap majikan, syarikat atau organisasi mempunyai cara tersendiri dalam menjaga kebajikan pekerjanya dengan menawarkan pelbagai kemudahan, ganjaran atau insentif tahunan.

Kebanyakan syarikat memberikan faedah standard seperti perubatan, pergigian atau mata, namun baru-baru ini bantuan pinjaman pelajaran sedang mencari cara untuk memasukkan sebagai satu faedah yang ditawarkan, selepas pengumuman melalui Bajet 2019 yang meminta majikan membantu pekerja mereka membayar tungakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Di bawah inisiatif ini,  syarikat yang membayar pinjaman PTPTN pekerja mereka akan mendapat pelepasan cukai.

Melihatnya sebagai satu situasi menang-menang, Vector InfoTech Sdn Bhd menjadi contoh terbaik dengan menjadi salah sebuah syarikat paling awal, bagi memulakan inisiatif itu dan mula menawarkan bantuan pembayaran balik pinjaman PTPTN, kepada pekerja mereka sejak beberapa bulan lepas.

Pengarah Urusannya, Hii Ding Sin berkata, komitmen syarikat itu untuk membantu pekerjanya membayar balik PTPTN mereka, merupakan satu strategi baik untuk menarik, mengekalkan dan sebagai ganjaran kepada pekerja cemerlang dan pekerja baharu.

“Melalui program itu, majikan bukan sahaja akan menikmati pelepasan cukai, tetapi ia akan menjadi satu nilai tambah yang akan meningkatkan prestasi pekerja dan kesetiaan mereka kepada syarikat… kami akan dapat mengekalkan kakitangan yang cemerlang, cekap untuk terus bersama kami,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

Sejak pelaksanannya pada Mei, Hii berkata, syarikat telah membuat pembayaran penuh pinjaman dua pekerjanya berjumlah hampir RM63,000.

“Syarikat bercadang untuk memaksimumkan inisiatif pembayaran balik PTPTN kepada 10 lagi pekerjanya melalui pembayaran bulanan, mulai Oktober.

“Kami sedang dalam proses menilai dan mengenal pasti kakitangan yang akan diberikan insentif tersebut menerusi indikator prestasi utama (KPI) yang ditetapkan syarikat,” katanya lagi.

Vector Infotech Sdn Bhd sebuah syarikat pakar dalam pembekalan produk dan solusi industri kepada pasaran tempatan dan syarikat multinasional dalam industri minyak dan gas, petrokimia, elektrik, utiliti, pengangkutan dan bahan kimia, semi-konduktor, bangunan dan pembinaan, makanan, pulp dan industri kertas, dengan lebih 120 pekerja di seluruh negara.

Melihat kepada faedah dan inisiatif yang dinikmati majikan dan pekerja, Hii percaya lebih ramai majikan dan organisasi akan menyertai progam itu.

“Saya berharap, lebih banyak syarikat dan majikan akan mengambil peluang ini (inisiatif), ia satu situasi menang-menang untuk kedua-dua, pekerja dan syarikat.

“Saya juga berharap Kerajaan akan meneruskan usaha ini pada masa hadapan. Ini satu perkara yang boleh kami lakukan untuk membantu masyarakat,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung program berkenaan, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar & Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, terdapat dua kaedah bayaran yang boleh digunakan oleh majikan atau syarikat, iaitu bayaran ansuran bulanan atau bayaran penuh.

Majikan yang membuat bayaran itu, secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

“Tiada amaun minimum atau maksimum ditetapkan, kerana ia bergantung kepada budi bicara majikan membantu kakitangan. Jika majikan mengarahkan kakitangan membuat bayaran terhadap bayaran balik yang telah dibuat oleh majikan, aduan boleh dilakukan di PTPTN dan ia akan dipanjangkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk siasatan.

“Majikan yang membuat tuntutan palsu akan dikenakan kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang menjadi majikan kepada diri sendiri, tidak layak mendapat pelepasan cukai berkenaan, kerana syarat utamanya ialah majikan membantu kakitangannya membuat bayaran balik PTPTN.

Majikan yang ingin membuat bayaran balik kakitangannya boleh melayari laman portal PTPTN iaitu www.ptptn.gov.my (Portal Majikan Online).

– BERNAMA

 


Pengarang :