Rodziah Ismail bergambar selepas majlis Jelajah Mini Ekspo Usahawan Selangor (MEXUS) peringkat Daerah Kuala Langat 2019, di Lapangan Pasaraya Giant Banting pada 28 September 2019.
EXCOSELANGOR

Makanan Jawa mampu popularkan Kuala Langat

BANTING, 28 SEPT: Keunikan makanan masyarakat Jawa di Kuala Langat antara kunci utama untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung asing ke daerah berkenaan.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, usaha mempromosi dan memperkenalkan makanan Jawa kepada umum perlu diperhebatkan secara berterusan.

Katanya, ia bagi memastikan kepelbagaian makanan Jawa yang menjadi salah satu identiti rencam masyarakat daerah itu tidak pupus ditelan zaman.

“Jika (Kuala Langat) benar-benar mahu menjadikan makanan Jawa sebagai promosi, mereka perlu menjadikannya sebagai program berpusat memandangkan tarikan itu bermula dengan makanan Jawa.

“Justeru, perkara ini saya mohon kepada semua pemimpin supaya mereka mengambil langkah dan berganding tenaga bersama untuk kita menuju ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Mini Ekspo Usahawan Selangor (MEXUS) peringkat Daerah Kuala Langat 2019, di Lapangan Pasaraya Giant Banting, di sini, hari ini.

Hadir sama, Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Dato’ Mohamed Al-Haj Tengku Harun dan Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin.

Terdahulu, Kuala Langat menjadi daerah kelima terpilih sebagai lokasi jelajah MEXUS selepas Hulu Selangor dengan bertemakan makanan Jawa.

Pada majlis sama, seramai 15 usahawan Kuala Langat menerima plak bagi Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) selepas permohonan mereka diluluskan.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata, selain memfokuskan program berbentuk karnival, MEXUS bertujuan menaik taraf penjaja kecil untuk menjadi usahawan berjaya pada masa hadapan menerusi pertemuan bersama agensi keusahawanan berkaitan.

Katanya, usahawan kecil perlu bijak memainkan peranan dalam merebut peluang disediakan Kerajaan Negeri.

“Usahawan tidak perlu bertemu agensi sebaliknya agensi turun padang bagi memberi peluang untuk usahawan dan bakal usahawan mengintai peluang mendapatkan bantuan dana.

“Mereka juga berpeluang menyertai klinik usahawan dan mendengar taklimat perniagaan daripada agensi yang menyediakan bantuan kepada usahawan serta perkongsian usahawan selebriti Awi Rafael termasuk usahawan berjaya Kuala Langat.

“Melalui program ini, usahawan boleh belajar cara pemasaran digital dan bisnes atas talian. Kita akan jadikan MEXUS sebagai pusat sehenti untuk usahawan seluruh negeri Selangor mempertingkatkan potensi perniagaan mereka,” katanya.


Pengarang :