AGENDANASIONAL

Malaysia Airlines kini terbang ke Solo

SOLO (JAWA TENGAH), 23 SEPT: Malaysia Airlines melakukan perkhidmatan sulungnya dari Kuala Lumpur ke Surakarta (Solo), Indonesia menerusi penerbangan MH849 dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soemarmo semalam.

Penerbangan itu berlepas dari Kuala Lumpur pada 8.30 malam (waktu Malaysia) dan tiba di Solo pada 10 malam (waktu tempatan).

Ketibaan MH849 itu disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zainal Abidin Bakar; Pengarah Pelancongan Malaysia di Indonesia, Roslan Othman; Pengurus Malaysia Airlines bagi Kawasan Indonesia, Muzakir Shah Abdul Rahman; dan Pengurus Besar PT Angkasa Pura I Bandara Adi Soemarmo, Abdullah Usman.

Menurut Zainal Abidin, penerbangan baharu itu selaras dengan kempen Melawat Malaysia 2020 yang baru dilancarkan, yang mempromosi pelancongan sebagai tunggak ekonomi Malaysia.

“Solo, secara tradisional dikenali sebagai Surakarta, merupakan ibu kota diraja bersejarah di Kepulauan Jawa. Laluan ini akan menghasilkan hubungan lebih rapat Indonesia-Malaysia, terutama dalam industri pelancongan masing-masiang,” kata beliau.

Malaysia Airlines Bhd melancarkan laluan ke Solo dan Pekanbaru di Indonesia pada Rabu (18 Sept) dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL, sebagai memenuhi permintaan meningkat bagi penerbangan antara Kuala Lumpur dan Indonesia.

Muzakir Shah berkata ia akan melakukan penerbangan dua kali seminggu menggunakan pesawat B737-800 ke dua bandaraya Indonesia itu, masing-masing merupakan destinasi kelima dan keenam syarikat penerbangan itu di Indonesia.

Penerbangan ke Solo berlepas dari Kuala Lumpur pada 8:30 malam dan tiba pada10 malam pada hari yang sama. Penerbangan balik berlepas dari Solo pada 11:15 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada 2:55 pagi hari berikutnya.

Sementara itu, penerbangan ke Pekanbaru berlepas dari Kuala Lumpur pada 7:50 malam dan tiba di Pekanbaru pada 7:55 malam hari yang sama. Penerbangan balik berlepas dari Pekanbaru pada 8:55 malam hari yang sama dan tiba di Kuala Lumpur pada 11:05 malam hari yang sama.

(masa berlepas dan ketibaan adalah mengikuti waktu tempatan).

-BERNAMA


Pengarang :