Wisma Putra sentiasa memantau keadaan rakyat Malaysia di Queensland.
AGENDANASIONAL

Malaysia bidas kenyataan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina

PUTRAJAYA, 8 SEPT: Malaysia menolak sepenuhnya kenyataan dibuat Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr. di Taklimat Bajet Jawatankuasa Peruntukan negara itu, pada 4 September lalu berhubung Sabah.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf, dan tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak terhadap Sabah.

“Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia. Fakta ini diiktiraf dan diterima Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

“Oleh itu, sebarang kenyataan yang merujuk atau mengaitkan tuntutan tidak wajar akan ditolak, (dianggap) sebagai tidak mesra dengan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina mengesahkan semula tuntutan Filipina terhadap Sabah selepas wakil rakyat Lanao del Norte, Khalid Dimaporo bertanya sekiranya Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) ada memperuntukkan dana untuk Sabah.

Kementeria Luar berkata, Malaysia meletakkan kepentingan tinggi dan amat menghargai hubungannya dengan Filipina, secara duahala dan sebagai rakan kongsi dalam ASEAN, di samping sebagai rakan anggota lain-lain organisasi serantau dan antarabangsa.

“Hubungan Malaysia-Filipina yang terus berkembang dan membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara dan masing-masing rakyatnya, semestinya tidak memerlukan komen yang tidak mesra dan memudarat sebegitu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :