Kebakaran tanah pertanian di Kampar, wilayah Riau di Kepulauan Sumatra yang dirakamkan pada 16 September 2019. – Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Malaysia harap Indonesia segera tangani kebakaran hutan

SEMARANG, 21 SEPT: Malaysia berharap Indonesia dapat menangani masalah kebakaran hutan dan ladang dengan segera kerana kesan jerebu akibat kebakaran itu turut menjejaskan Malaysia dan Singapura.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar berkata, Malaysia sentiasa bersedia membantu Indonesia memadam kebakaran hutan jika bantuan itu diperlukan.

“Malaysia menghargai usaha yang dilakukan Indonesia (menangani kebakaran), cuma kita berharap masalah ini diselesaikan segera kerana ia turut menjejaskan Malaysia dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 di sini, hari ini.

Zainal Abidin berkata, Malaysia juga akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat perladangan Malaysia yang didapati terbabit dalam aktiviti pembakaran terbuka di Indonesia.

Baru-baru ini Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) berkata Indonesia kini sedang melakukan “segala-galanya” dalam usaha menangani kebakaran hutan dan ladang yang menyebabkan berlakunya jerebu teruk di beberapa wilayah di republik itu.

Lebih 10,000 petugas pemadam kebakaran termasuk polis dan tentera kini bertungkus- lumus memadam kebakaran di beberapa wilayah di Indonesia seperti di Kalimantan, Jambi, Riau dan Sumatera Selatan.

Sejak Januari lepas, lebih 300,000 hektar hutan dan ladang terbakar di beberapa provinsi di Indonesia.

-BERNAMA


Pengarang :