Selangorkini
Pasukan hoki Malaysia menjalani latihan dikendalikan ketua jurulatih, Roelant Oltmans. Foto FB KONFEDERASI HOKI MALAYSIA (MHC)
AGENDA SUKANKINI

Malaysia lawan Great Britain untuk tiket Tokyo

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Skuad hoki lelaki Malaysia kini siap sedia menghadapi tugas berat dalam usaha untuk melayakkan diri menyertai Olimpik Tokyo 2020, setelah diundi menentang pemenang tiga kali pingat emas, Great Britain.

Berdasarkan cabuatan undi dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Thierry Weil di Lausanne, Switzerland semalam, Malaysia, pada ranking ke-11 di dunia, diletakkan pada pot 3, sementara Great Britain dalam pot 2.

Skuad Harimau Malaysia itu perlu bermain dalam dua perlawanan luar antara 1 hingga 3 November di London, untuk mendapatkan kemenangan agregat bagi menempah tiket Olimpik, selepas beraksi pada edisi Sydney 2000.

Pasukan Great Britain akan disertai pemain dari nombor tujuh dunia England, Wales (18) dan Scotland (19).

Sekalipun menerima undian yang sukar, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal yakin pasukan Malaysia punya peluang cerah.

“Untuk melayakkan diri ke Olimpik, kita perlu sanggup bermain. Ada sebulan setengah untuk persiapan, sekarang ini terpulang kepada para pemain dan jurulatih, untuk pastikan kita sampai ke Tokyo,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan acara cabutan undi di Facebook livestream, di ibu pejabat MHC di sini, malam tadi.

Pertandingan hoki Olimpik akan berlangsung dari 25 Julai hingga 7 Ogos di Stadium Hoki Oi yang baru dibina, melibatkan 12 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita.

Jepun (lelaki dan wanita) telahpun mengesahkan tempat mereka selaku tuan rumah dan johan Sukan Asia, demikian juga Argentina (lelaki dan wanita), Afrika Selatan (lelaki dan wanita), Belgium (lelaki), Australia (lelaki), Belanda (wanita) dan New Zealand (wanita) yang melayakkan diri sebagai johan benua.

Undian penuh lelaki:

Jerman lwn Austria
India lwn Russia
Belanda lwn Pakistan
Sepanyol lwn Perancis
Kanada lwn Ireland
Great Britain lwn Malaysia
New Zealand lwn Korea Selatan

– BERNAMA


Pengarang :