AGENDANASIONAL

Malaysia lulus pelaburan RM2.3 bilion untuk produk sanitari

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 21 projek pembuatan produk berkaitan sanitari, membabitkan pelaburan RM2.3 bilion, dari 1980 sehingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, RM2.2 bilion terdiri daripada pelaburan asing, manakala bakinya RM125 juta daripada sumber domestik, kata MIDA dalam kenyataan semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena Majlis Pecah Tanah Vinda Group senaraian Hong Kong untuk ibu pejabat (HQ) Asia Tenggara kumpulan berkenaan di Bukit Raja, Klang.

MIDA, agensi promosi utama kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menyambut baik usaha Vinda Group, pengeluar utama produk kebersihan berjenama seperti lampin pakai buang bayi, produk inkontinens dan produk perlindungan wanita, untuk mengukuhkan kehadirannya di rantau ini melalui pewujudan HQ serantau.

“Kami meramalkan HQ serantau Vinda Group baharu itu akan menjadi pemangkin dalam meningkatkan pembangunan ekosisitem industri produk berkaitan kumpulan itu di negara ini.

“Ia juga akan dapat menyediakan akses dan fleksibiliti lebih baik dalam menawarkan perkhidmatan kepada pelanggannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud dalam ucapannya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Eksekutif Pembangunan Pembuatan (Sumber), Mohamad Ismail Abu Bakar.

Azman turut memuji usaha dijalankan kumpulan itu untuk memupuk potensi Industri 4.0, selari inisiatif Industri4WRD kerajaan.

“Ini akan membuka laluan untuk peningkatan produktiviti serta pewujudan kerja bernilai tinggi yang akan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Malaysia dan kesejahteraan masyarakat.

“Kami berharap untuk melihat lebih banyak syarikat mencontohi Vinda Group dan meningkatkan lagi tahap mereka dari segi amalan terbaik dan produtiviti dalam jangka terdekat. Ini sekali gus akan mewujudkan kerja lebih baik untuk negara,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :