AGENDANASIONAL

Malaysia perbaharui mekanisme sekat pengganas seberang sempadan

WASHINGTON DC, 17 SEPT: Sistem Imigresen Malaysia yang baharu akan mengandungi mekanisme untuk menyekat pengganas asing daripada menyeberangi sempadannya.

Bercakap kepada pemberita di ibu negara Amerika Syarikat (AS) ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa komitmen Kuala Lumpur dalam memperkasakan keselamatan di sempadannya akan tergambar menerusi pelaksanaan pengumpulan Maklumat Awal Penumpang (Advance Passenger Information-API) dan Rekod Nama Penumpang (Passenger Name Record – PNR).

“Kedua-dua perisian sedang dimasukkan ke dalam sistem imigresen yang baharu yang kini sedang dibangunkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia,” kata beliau.

Muhyiddin berkongsi perkembangan itu ketika berucap pada Forum Kepimpinan Banyan Tree mengenai hubungan Strategik Malaysia-AS, di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di sini pada Isnin lalu.

Beliau tiba di sini pada Ahad lalu untuk lawatan kerja ke AS bertujuan meningkatkan hubungan keselamatan antara kedua-dua negara. Dalam lawatannya sehingga 21 September depan, Muhyiddin juga akan ke New York.

Muhyiddin juga akan mengambil kesempatan daripada lawatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada AS atas sokongan yang diberikannya kepada agensi-agensi penguatkuasaan Malaysia, termasuk dari segi pelbagai program latihan dan kursus jangka pendek yang diberikan kepada para penguat kuasa undang-undang.

“AS juga boleh memanfaatkan sumber-sumber yang terdapat di Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan yang berpejabat di Kuala Lumpur untuk melaksanakan matlamat bersama kami iaitu untuk menangani keganasan dan memelihara keamanan dan kestabilan di rantau ini,” kata beliau.

Beliau turut mengungkapkan rasa terima kasih kepada pihak berkuasa AS, terutamanya Jabatan Kehakiman AS, atas kerjasama mereka terutama dalam usaha mendapatkan semula berbilion dolar dana syarikat pelaburan milik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau adalah antara orang yang paling kuat menentang perlakuan rasuah peringkat tinggi membabitkan 1MDB semasa beliau masih bersama kerajaan terdahulu.

Menteri itu bersyukur kerana perjuangan peribadi dan komitmen beliau mengenai tadbir urus dan kedaulatan undang-undang berbaloi apabila kebenaran mengenai skandal 1MDB didedahkan.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih khas kepada pihak berkuasa AS yang telah membantu mendapatkan semula US$322 juta nilai harta 1MDB sejak penyiasatan terhadap 1MDB bermula pada Mei 2018.

“Proses untuk mendapatkan semula aset ini masih berjalan dan kami menjangkakan berjuta-juta dolar lagi akan dikembalikan kepada Malaysia pada masa depan,” kata Muhyiddin.

Beliau selanjutnya berkata, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan AS bukan sahaja dalam mempromosikan keamanan, keselamatan dan kestabilan sejagat bahkan juga dalam mewujudkan kemakmuran ekonomi yang akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

“Dalam usaha kami hendak memastikan Malaysia terus mencapai kemajuan dalam usahanya hendak menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kami mengalu-alukan pelaburan baharu dari AS terutama dalam kegiatan-kegiatan utama ekonomi yang telah dikenal pasti sebagai enjin pertumbuhan baharu,” kata beliau.

Muhyiddin berkata, ia termasuk teknologi kewangan, ekonomi digital, e-dagang, ekonomi hijau dan tenaga yang boleh diperbaharui.

– BERNAMA


Pengarang :