Pasukan keselamatan Indonesia cuba memadam kebakaran hutan di Kampung Rambutan di Ogan Ilir, selatan Sumatera pada 11 September 2019. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia sedia bantu padam kebakaran di Indonesia

PUTRAJAYA, 12 SEPT: Jabatan Bomba dan Penyelamat sedia membantu memadamkan kebakaran hutan di Indonesia jika diperlukan bagi mengatasi masalah jerebu, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Kita sedia untuk bekerjasama jika pertolongan kita diperlukan, sudah tentu kementerian dan bomba bersedia untuk memberikan bantuan,” katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran 7th Asia-Pacific Urban Forum (APUF7) di sini hari ini.

Zuraida Kamaruddin tawar bantuan untuk Malaysia bantu padam kebakaran di Indonesia.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Zainal Abidin Bakar dilaporkan berkata, Malaysia tidak menuding jari kepada Indonesia berikutan masalah jerebu, sebaliknya menawarkan bantuan menangani kebakaran hutan di beberapa wilayah Indonesia ketika ini.

Menurut duta itu, surat rasmi kerajaan Malaysia menerusi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berhubung tawaran itu telah disampaikan kepada pemerintah Indonesia.

Menurut laporan media, lebih 42,000 hektar kawasan hutan dan ladang direkodkan telah terbakar sejak Januari lepas, dengan beratus hektar dilaporkan masih terbakar melibatkan beberapa provinsi atau wilayah di Indonesia.

Lebih 6,000 petugas pemadam kebakaran, yang turut dibantu polis dan tentera kini dikerahkan memadam kawasan kebakaran di Riau, Jambi, Pekanbaru dan Kalimantan.

Mengenai APUF7, Zuraida berkata, acara itu akan berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober di Pusat Konvensyen SPICE, Pulau Pinang dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

APUF7 menyasarkan kehadiran 7,000 peserta dari 60 buah negara Asia Pasifik, dengan 28 negara telah memberikan pengesahan setakat ini.

“Pulau Pinang dipilih memandangkan banyak inisiatif pembandaran dan bandar pintar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan dengan ini akan dapat memberi pendedahan kepada peserta luar negara yang datang,” katanya.

Zuraida berkata, bersempena APUF7, kementerian melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan turut menganjurkan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kali kedua pada 14 hingga 15 Oktober ini bagi melibatkan pentadbir bandar, ahli majlis dan kakitangan profesional di PBT.

– BERNAMA


Pengarang :