Keadaan MH17 yang jatuh ditembak di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
AGENDANASIONAL

Malaysia tidak boleh terima dengan mudah sebahagian penemuan MH17

VLADIVOSTOK (Rusia), 5 SEPT: Malaysia ada kesangsian dan tidak dapat menerima dengan mudah sebahagian daripada penemuan-penemuan pasukan penyiasat bersama (JIT) diketuai Belanda yang menyiasat insiden penembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata terdapat keperluan kepada sebuah badan bebas yang terdiri daripada pakar-pakar dari banyak negara yang biasa dengan kejadian pesawat terhempas seperti itu untuk menyiasatnya kerana pandangan JIT mungkin tidak adil dan berpihak.

“Pandangan mereka mungkin tidak adil dan berpihak, kita perlukan sebuah badan bebas untuk melakukan siasatan. Dan penemuan-penemuannya juga adalah sesuatu yang tidak boleh kita terima dengan mudah.

“Hendak mengenal pasti siapa yang melepaskan tembakan adalah amat sukar (tetapi) untuk mengenal pasti jenis peluru berpandunya, ya…tapi kawasan di mana ia berlaku, itu boleh dipastikan tetapi untuk mengenal pasti siapa sebenarnya yang melepaskan tembakan, itu amat sukar dalam keadaan biasa,” katanya semasa diwawancara oleh agensi berita Sputnik, yang ibu pejabatnya di Moscow, Rusia.

Dr Mahathir kini berada di Vladivostok untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF).

Perdana Menteri berkata beliau tidak mempertikaikan keikhlasan mereka tetapi ada perkara-perkara tertentu yang sukar bagi Malaysia hendak menerimanya terutama mengenai identiti orang yang sebenarnya melepaskan tembakan peluru berpandu itu.

“Adalah amat sukar hendak ditentukan kerana sebaik sahaja peluru berpandu itu dilepaskan, mereka boleh bergerak ke mana-mana sahaja dan perkara seumpama itu, tetapi anda boleh kenal pasti bahagian peluru berpandu itu dan menentukan jenis peluru berpandu berkenaan atau bahagian pesawat dan bahagian mana pesawat yang rosak.

“Tetapi untuk mengatakan anda tahu siapa yang melepaskan tembakan peluru berpandu itu, itu adalah sesuatu yang melampau dan amat sukar untuk kami menerimanya.

“…Saya tidak ada saudara-mara yang terbunuh di sana, saya tidak berhak ke atas mana-mana tuntutan insurans tetapi saya telah melihatnya sebagai seorang pemerhati dari luar dan sebahagian daripada penemuan-penemuan yang dibuat nampak kepada saya dan ramai orang di Malaysia macam tidak betul,” katanya.

Pada 17 Julai 2014, pesawat yang membawa 298 orang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh di ruang udara Donetsk, Ukraine.

Pasukan penyiasat JIT menyimpulkan bahawa MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu anti-pesawat BUK oleh puak pemisah yang pro-Rusia dalam konflik mereka dengan Ukraine.

Pada Jun, pasukan penyiasat JIT, yang terdiri daripada Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine, mengumumkan bahawa empat individu – tiga rakyat Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov, dan seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko – akan didakwa kerana menembak jatuh pesawat MH17.

Dr Mahathir berkata adalah penting untuk mencari bukti lain untuk mengenal pasti penjenayahnya dan dari negara mana yang terlibat dalam penembakan peluru berpandu itu.

“Jika mereka boleh menjumpainya dari bukti lain, maka ia menjadi bukti yang sahih dan saya fikir saudara-mara mangsa akan boleh membuat tuntutan,” tambah beliau.

-BERNAMA


Pengarang :