Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia tingkat pertanian, kekal momentum sektor industri – Azmin

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Malaysia sedang melakukan pengubahsuaian struktur dalam hala tuju ekonomi dengan fokus utama meningkatkan sektor pertanian dan mengekalkan momentum dalam pembangunan sektor industri.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sektor pertanian akan menjadi sangat penting dalam membawa ekonomi negara ke peringkat seterusnya.

“Secara amnya, jumlah kes kemiskinan adalah lebih tinggi di negeri-negeri yang ekonominya berasaskan aktiviti pertanian.

“Oleh itu, adalah penting untuk kerajaan membetulkan ketidakseimbangan dalam pembahagian kekayaan dan mengurangkan perbezaan antara kelas pendapatan, kumpulan etnik, wilayah dan rantaian bekalan,” katanya.

Mohamed Azmin menyampaikan ucapan pada perbincangan panel ‘Pengawasan Alam Sekitar dalam Menangani Kemiskinan untuk Mencapai Pembangunan Mampan’ di luar Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York, semalam.

Beliau berkata sebagai permulaan, Malaysia perlu melakukan penyelidikan dan pembangunan terperinci dalam pertanian campuran supaya sektor pertanian tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil getah dan kepala sawit sebaliknya memperuntukkan sebahagian tanah untuk pengeluaran tanaman kontan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga yang mendapat permintaan di peringkat global.

Import makanan Malaysia pada 2018 berjumlah lebih daripada RM50 bilion dan berkembang tahun demi tahun.

Pisang, kelapa, cili, jagung, halia dan cendawan adalah antara contoh tanaman yang diimport Malaysia ketika ini dan ia boleh digantikan dengan pengeluaran daripada ladang tempatan.

Beliau berkata, petani yang memiliki dua atau tiga ekar tanah tidak mampu untuk memperoleh pendapatan mencukupi bagi menampung hidup, oleh yang demikian, pendekatan baharu yang menggabungkan ladang-ladang kecil yang diuruskan dengan cekap akan menjana pendapatan lebih tinggi untuk petani.

Mohamed Azmin juga menekankan bahawa peningkatan sektor pertanian menerusi pertanian pintar adalah sejajar dengan Revolusi Industri 4.0.

Oleh itu, beliau berkata penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan, automasi, analisis data raya, dron dan robotik akan menyediakan asas kukuh dalam pertanian tepat.

“Ini memerlukan modal insan berkemahiran tinggi seperti pengurus ladang yang disahkan secara profesional yang dapat memaksimumkan pengeluaran serta menguruskan ladang dengan cekap.

“Ia juga mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi baharu yang sangat penting dalam meningkatkan sosioekonomi tenaga kerja dalam bidang pertanian yang menjadi salah satu cara untuk meningkatkan kuasa membeli mereka,” katanya.

Menteri itu juga memberi jaminan pendekatan yang sama akan diambil dalam semua bidang ekonomi, dengan mengukuhkan asas ekonomi Malaysia dan sentiasa teguh mencapai pembangunan mampan untuk semua dalam menangani kemiskinan.

– BERNAMA


Pengarang :