Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Sidang Kemuncak SDG – Leaders Dialogue 6 mengenai ‘Wawasan 2020-2030’, di New York pada 25 September lalu. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Malaysia usaha imbangi matlamat pembangunan lestari, keperluan rakyat

NEW YORK, 26 SEPT: Malaysia sedang berusaha menyeimbangkan antara mencapai matlamat pembangunan lestari (SDGs) dan menangani keperluan rakyatnya.

Dalam hubungan ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, strategi baru perlu diambil untuk mencapai sasaran pembangunan lestari dan pada masa sama menjaga kesejahteraan rakyat.

“Malaysia percaya kepada matlamat pembangunan lestari, tetapi antara percaya dan mencapai matlamatnya, kita tahu ia bukan perkara mudah,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak SDG – Leaders Dialogue 6 mengenai ‘Wawasan 2020-2030’, di sini semalam.

Beliau menegaskan kerajaan sedang melihat secara dekat perkara seperti alam sekitar dan pembasmian kemiskinan.

Berhubung alam sekitar, Dr Mahathir menyatakan apabila penduduk Malaysia bertambah, kerajaan terpaksa membelanjakan lebih banyak wang untuk merawat sisa yang mereka hasilkan.

Malangnya, katanya, sesetengah negara memilih untuk menghantar beberapa sisa mereka ke Malaysia.

“Kita kini menghadapi masalah untuk melupuskan sisa tambahan ini,” katanya sambil menyatakan harapan bahawa negara akan menguruskan sisa mereka sendiri dan bukan mengeksport ke negara lain.

Dr Mahathir berkata, menjaga alam sekitar juga bermakna Malaysia akan berusaha sebaik-baiknya untuk tidak menebang pokok.

Negara ini, katanya, berjanji untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan negara dilitupi hutan semula jadi.

“Dan ini kami lakukan kerana kami kini mempunyai 53 hingga 55 peratus daripada tanah yang dilitupi oleh hutan semula jadi,” katanya.

“Dan kita berhasrat untuk menjaga ini walaupun kita harus memperoleh manfaat dari hutan kita. Tetapi kita akan berhati-hati supaya tidak menyebabkan hutan itu berkurang sehingga ia menjadi buruk bagi negara kita dan seluruh dunia,” katanya.

Dr Mahathir berkata Malaysia bagaimanapun memerlukan tanah dari masa ke masa untuk penempatan manusia.

Kita tidak boleh mengatakan bahawa kita harus menghalang orang daripada tinggal di rumah yang baik hanya kerana kita tidak mempunyai ruang untuk mereka.

“Jadi Malaysia hari ini membina lebih banyak bangunan bertingkat tinggi sehingga pada setiap meter persegi terdapat lebih banyak orang yang dapat hidup dan mengekalkan diri,” katanya sambil menambah bahawa ini juga satu lagi cara pembangunan lestari.

Perdana Menteri juga berkata Malaysia terpaksa mengamalkan teknik pertanian moden untuk menyediakan makanan kepada rakyatnya sambil mengekalkan alam sekitar.

Mengenai kemiskinan, Dr Mahathir berkata beliau meragui sama ada ia benar-benar mungkin untuk membasmi kemiskinan sepenuhnya kerana garis kemiskinan menjadi lebih tinggi berbanding satu ketika dahulu.

-BERNAMA


Pengarang :