BUDAYARENCANA

Manusia

Oleh Lokman Hakim

Sekujur tubuh berkot hitam terbujur kaku. Lopak merah membengkak di bawah kepalanya yang terlungkup, membasahi karpet lantai. Deru pendingin hawa konsisten. Seiring bunyinya dengan tangis seorang gadis teresak-esak berkebaya putih. Ada tompok darah pada kebaya. Kilas bayang wanita itu terlihat pada kasut seorang lelaki yang masih memutarkan sigar di celah jari-jemarinya yang panjang. Sesekali terketar-ketar, lalu disuakan pula sigar itu ke bibir. Dihirup. Hembus. Asap tidak pekat. Tetapi menyeruak liar. Tangis esak masih kedengaran. Tidak mungkin berhenti mudah. Gadis itu, sesekali mengerling sekitar. Meja kaca pecah berderai. Gelas kaca terpisah gagangnya. Kertas-kertas berhamburan. Fail-fail rabak tetulangnya. Tompok-tompok darah. Sebutir gigi. Kerusi terlungkup, remuk, ada calitan darah. Tubuh berkot hitam bukan satu tapi dua. Yang masih menghisap sigar. Yang sudah terbaring kaku. Yang menghisap sigar itu terketar-ketar. Sama jugalah dengan gadis itu, menggeletar. Mungkin seirama, tetapi siapa lagi yang lebih takut? Yang sudah baring itu, mungkin ada sekelumit nafas. Maut belum datang. Tapi siapalah tahu di mana maut itu?

Mungkin sudah bergayut di tombol pintu. Atau pada tag nama yang bergantung di leher. Atau sedang merasuk karpet, menghirup bau darah dari lopak yang membengkak. Maut, oh maut, suatu entiti penting. Menentukan nasib dua pasang laki dan wanita itu sama ada terus menggeletar atau menarik nafas lega. Nah, ada serpih-serpih porselin. Dibasahi darah. Sigar masih berbaki separuh tapi sudah gugur ke lantai. Berasap sejenak sebelum padam. Kepul asap atau bau darah yang lebih kuat? Pintu terbuka sedikit ditahan sendal. Di luar itu cahaya mentari tegak di kepala. Memerah keluar keringat dari pori-pori. Mungkin juga memerah keluar kemanusiaan secara tidak sedar.

Bunyi derap kaki dan perbualan bertingkahan. Ada orang akan masuk ke pejabat. Pintu akan ditolak. Panik melanda. Gadis berkebaya tidak lagi menyeka air mata. Lelaki berkot hitam tidak lagi menghisap cerut. Mereka mahu menyelesaikan jasad di atas lantai. Tapi langkah terpempan. Pandangan mereka bertaut pada kamera litar tertutup berhampiran. Landskap mereka berada itu dalam pemantauan. Kali ini kedua-duanya lalu terjelepuk di atas lantai.  Tiada apa yang mampu dilakukan.

Pintu ditolak. Kedengaran teriakan. Ada yang melongo. Ada yang menjegilkan mata. Ada yang menangis. Lopak darah kian luas, persis kolam di bawah jasad. Masih tiada sesiapapun mahu merapati. Tapi ada yang mengeluarkan telefon bimbit. Ada yang bergegas menghilangkan diri. Tapi setelah beberapa ketika, kelibat beberapa orang pengawal keselamatan muncul. Gadis berkebaya putih didatangi beberapa orang wanita lalu mereka berdakapan. Cerita si gadis berkebaya putih mengharukan. Pakaiannya juga sedikit carik. Lelaki berkot hitam pula masih tidak meleraikan pandangan pada tubuh yang terkujur di atas lantai. Dada lelaki yang terbaring beralun. Masih bernafas. Dipalingkan tubuhnya. Wajahnya berlumuran darah.

Diperiksa nadinya. Diperiksa anak matanya. Hanya pengsan. Bibir pecah. Darah meleleh dari kepala. Dari gusi. Dari dalam perut juga, mungkin. Lelaki berkot hitam meraup wajahnya. Lama-lama. Lalu terduduk di sofa berhampiran. Kakinya kelihatan lemah. Kot hitam ditanggalkan. Dicampak ke tepi sofa. Tali leher dilonggarkan. Ruas penumbuk yang melecet ditatap. Ada lekuk kesan gigi. Sedikit berdarah.

Soalan demi soalan bercempera. Siapa pelaku? Kenapa dia pengsan? Siapa kena cabul? Apa yang berlaku? Kenapa bertumbuk. Lelaki di atas sofa tidak peduli lagi. Matanya bengkak. Pipinya juga membiru. Tiada siapa dapat ceritakan apa yang jadi. Gadis berkebaya putih masih tidak stabil emosi. Dibawa pergi ke ceruk belakang pejabat. Dipujuk.

Setelah beberapa ketika, siren bertingkahan. Ambulanskah itu? Kereta peronda poliskah itu? Siapa peduli. Jururawat dan petugas kesihatan terlebih dahulu masuk ke pejabat. Disusuli pihak polis. Siasatan bermula. Masing-masing masih kaget. Yang terbaring di atas lantai diberikan rawatan. Lalu dipindahkan ke dalam strecer. Dibawa pergi. Pihak polis menyoal siasat setiap orang di situ. Lelaki berkot hitam tadi mencapai kembali kotnya. Dikenakan semula. Polis dirapati. Ditadahkan tangannya minta digari.

Mata masing-masing mengerling pada lelaki berkot hitam. Dia menguntum senyum. Tiada siapa tahu kenapa dia senyum. Gadis berkebaya putih mungkin tahu, tetapi dalam keadaan ini, dia harus dirawat dan ditenangkan. Pihak polis akur terhadap situasi itu. Tetapi lelaki berkot hitam tidak digari. Hanya diiringi pihak polis, dibawa menuruni lif ke tingkat bawah.

Lopak darah di atas karpet terbiar. Mungkin ia bakal jadi bahan bukti penting ke atas apa yang berlaku. Sementara itu, kamera litar tertutup bergerak-gerak. Teleng ke kiri dan ke kanan, merakam apa-apa yang patut. Telah begitu lama ia merakam pertelingkahan, skandal, rasuah dan majlis pelbagai sifat di ruang itu. Cukup masa nanti, ia akan memadamkan memorinya satu-persatu. Dan babak tragedi dan kejayaan kecil manusia akan berulangan. Dirakam. Dipadam. Dirakam dan ditanyakan: Siapa yang lebih arif mengenai manusia urban jika bukan objek-objek pejabat?

Rakaman dihentikan. Memorinya tidak cukup. Sekurang-kurangnya, ia akan terperap di situ untuk suatu tempoh sebelum rakaman diteruskan dengan memadamkan babak-babak tadi. Entah esok, siapa pula akan terbaring di atas lopak darahnya sendiri. Kilasan cahaya melintas. Mungkin malaikat, syaitan atau sekadar maut yang tidak menemui kematian selain manusiawi yang malap.


Pengarang :