AGENDANASIONAL

Masa depan penjaja, peniaga kecil boleh diubah

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 5 SEPT: Majlis Perundingan Penjaja Negeri Selangor dijadikan platform yang menghubungkan persatuan penjaja dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan bertanggungjawab lain untuk menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

Exco Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung, Rodziah Ismail berkata, antara isu berbangkit termasuk usaha meningkatkan penglibatan persatuan penjaja dengan PBT bagi membincangkan isu pembangunan dan penempatan perniagaan kecil di Selangor.

Rodziah berkata, sebelum ini tiada platform yang sesuai bagi menyampaikan pendapat serta masalah yang dihadapi.

Dialog ini bertujuan mendapatkan maklumbalas serta masalah yang timbul dalam perniagaan mereka.

“Isu berbangkit ini lebih sesuai diselesaikan dengan persatuan berasaskan jenis perniagaan seperti persatuan peniaga pasar malam, ‘uptown’, trak makanan bergerak dan lain-lain dan bukannya persatuan berdasarkan kaum supaya perniagaan lebih sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog Membincangkan Masa Depan Penjaja dan Peniaga Kecil Dalam Aspek Pembangunan Usahawan Mikro Selangor di Menara Bank Rakyat di sini, hari ini.

Katanya, selain itu, Majlis Perundingan Penjaja Selangor juga dapat menyalurkan pengetahuan baharu kepada persatuan terbabit.

“Teknologi yang sedia ada pada masa kini dapat memudahkan lagi perniagaan justeru meningkatkan aspek pembangunan usahawan mikro di Selangor,” katanya.

Katanya, platform yang diwujudkan ini diharap dapat memberikan peluang bagi setiap usahawan untuk memantapkan perniagaan mereka.


Pengarang :