Dr Maszlee Malik memberi kata-kata semangat kepada calon peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) semasa tinjauan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) pada September 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Maszlee: Calon UPSR jangan tertekan

PUTRAJAYA, 4 SEPT: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini dan menasihati mereka untuk tidak merasa tertekan ketika menjawab soalan.

Seramai 445,641 calon mendaftar untuk menduduki UPSR pada tahun ini di 8,076 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Maszlee yang melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) di sini hari ini turut menasihati ibu bapa supaya tidak memberi tekanan kepada anak mereka.

“Saya dapati ibu bapa lebih cemas dan tertekan daripada anak-anak, maka saya nasihatkan mereka jangan terlalu menekan anak mereka.

“Tekanan ini tidak elok, mereka (pelajar) sudah berusaha, anggap ini sebagai kehidupan,” katanya kepada media ketika membuat tinjauan itu.

UPSR 2019 akan dijalankan pada 4, 5, 10, 11 dan 12 September.

Maszlee berkata, UPSR hanyalah salah satu komponen pentaksiran bagi sekolah rendah, selain pentaksiran lain iaitu Pentaksiran Bilik Darjah, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum serta Pentaksiran Psikometrik.

“Saya yakin anak-anak dapat lakukan ujian ini. Selamat berjaya dan cemerlang serta sentiasa tenang dalam menghadapi ujian mereka ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas sesetengah pihak yang mempersoalkan pemilihan Aungerah Sasterawan Negara yang diumumkan semalam, Maszlee berkata, itu perkara biasa.

Semalam, pengkaji seni budaya, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

“Biasalah ramai tak puas hati. Anugerah ini (untuk) seorang, yang tak dapat selalu tak puas hati.

“Hakikatnya calon yang terpilih adalah berdasarkan merit dan pencapaian ini telah diiktiraf penggiat sastera,” kata Maszlee.

Tokoh Sasterawan Perak, Dr Malim Ghozali dilaporkan mendakwa keputusan pemilihan Sasterawan Negara Ke-14 itu sebagai suatu bentuk tindakan ‘pintu belakang’ dan turut memberi gambaran wujud campur tangan dalam hal ehwal penjurian memilih tokoh berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :