Pasukan SAR mengusung mayat mangsa lemas kedua di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang yang ditemui pada 1 September 2019. Foto Unit Pengurusan Bencana Selangor
AGENDANASIONAL

Mayat mangsa lemas kedua ditemui

SEPANG, 1 SEPT: Mayat seorang lagi mangsa hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang semalam ditemui tengah hari tadi.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, mayat Siti Nuralya Mohd Zainal, 11, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 1.40 petang tadi.

Katanya, mayat kanak-kanak terbabit ditemui kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.

“Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jenazah dibawa ke Hospital Banting untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, dua beradik itu hilang selepas dibawa arus ketika mandi di muara Sungai Sepang.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, kedua-dua mangsa, Siti Nuralya dan abangnya, Muhammad Hafiz, 14, mandi di muara tersebut bersama empat yang lain.

Dua lagi adik mangsa yang selamat ialah Muhammad Al Hakim, 9, dan Muhammad Alif Haikal, 7. Turut selamat sepupu mangsa iaitu Muhammad Ferdaus Rizwan Mohd Khairilnizam, 11, dan adiknya, Muhammad Luqman, 7.

Mangsa dipercayai tergelincir sewaktu mandi di sungai berkenaan lalu dibawa arus dan ketika itu air mula pasang.

Mayat Muhammad Hafiz bagaimanapun berjaya ditemui pasukan SAR jam 12.40 tengah malam tadi.


Pengarang :