Selangorkini
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Ajaran Syiah bertentangan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah

GOMBAK, 8 SEPT: Ajaran Syiah tidak pernah secocok dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah mahupun tradisi masyarakat di negara ini, demikian tegas Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berhubung isu penangkapan pengikut ajaran itu di sini, semalam.

Namun, beliau tidak menafikan pengikut itu masih boleh mengamalkan ajaran serta kepercayaan mereka tetapi dilarang keras menyebarkannya kepada orang awam.

“Ulang kali perkara ini ditegaskan melalui khutbah dan dakwah bahawa ajaran mereka tidak secocok, malah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 juga sudah menjelaskannya,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Gotong Royong Merdeka 2019 anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sungai Tua Baharu, di sini, hari ini.

Terdahulu dilaporkan seramai 22 individu disyaki pengikut ajaran Syiah ditahan JAIS, di sebuah markas di Taman Sri Gombak.

Tangkapan itu dilakukan hasil risikan yang mendapati akan berlakunya perjumpaan dalam kalangan pengikut ajaran itu diketuai Pengerusi Syiah Malaysia, Kamil Zuhairi Abdul Azizi.

Tindakan menahan kesemua individu berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 12 (C) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Turut disita pada serbuan itu antaranya batu karbala, bingkai gambar, kain rentang, kitab serta buku ajaran syiah.

Bagaimanapun, dipercayai pengikut ajaran itu membuat laporan polis berhubung penangkapan yang dilakukan JAIS.

Amirudin berkata, sudah tentu pengikut berkenaan berhak membuat laporan polis namun, beliau yakin JAIS bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Biar Polis Diraja Malaysia yang membuat siasatan samaada berlaku kesilapan atau sebagainya, tetapi saya yakin JAIS bertindak berdasarkan fatwa dan hasil risikan awal,” katanya.


Pengarang :