AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Fikir kesengsaraan penduduk, jangan menangguk di air keruh

SHAH ALAM, 19 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari membidas tindakan pihak yang cuba mengambil kesempatan meraih sokongan politik dalam isu Projek Tebatan Banjir Sungai Kedondong, Paya Jaras.

Amirudin berkata, golongan terbabit ibarat menangguk di air keruh tanpa menghiraukan kesengsaraan yang ditanggung lebih 1,000 penduduk tempatan di empat kampung dekat Paya Jaras berikutan banjir di kawasan berkenaan.

“Kita sudah tawarkan Rumah Selangorku. Kos perpindahan sudah diambil maklum dan perbincangan sudah dilakukan tetapi ada yang nak menangguk di air keruh, maka saya ucapkan terima kasih, silakan untuk main politik.

“Isu ini membabitkan kawasan dan lokaliti lebih besar termasuk Merbau Sempak serta Paya Jaras yang terkesan dengan banjir lebih parah pada masa akan datang jika projek ini tak diteruskan.

“Rentetan masalah besar ini berlaku dan ada yang ambil kesempatan menjemput orang besar mereka datang, silakanlah tetapi saya percaya saya fikirkan kemashalatan lebih besar untuk diselesaikan termasuk aspek kemanusiaan seperti tawaran rumah yang sudah dilakukan lebih awal oleh Yang Berhormat Khairuddin dan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Akademi Kepimpinan Wanita di Shah Alam Convention Centre di sini, hari ini.

Amirudin menempelak pihak yang terburu-buru menuduh Kerajaan Negeri sebagai tidak berperikemanusiaan tanpa asas.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak akan menangguhkan projek terbabit atau menawarkan Rumah Selangorku kepada mereka yang menduduki tanah rizab sungai milik kerajaan jika benar bersikap tidak bertimbang rasa.

“Projek ini diluluskan sejak 2015. Jika kita tiada perikemanusiaan, maka kita tidak pernah tangguh tetapi sudah tangguh sejak 2015, malahan saya sendiri beri penangguhan sehingga peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Penangguhan sehingga UPSR ini diminta beberapa organisasi bukan kerajaan. Mereka yang sendiri hubungi saya termasuk ketua mereka bernama Azroy, mereka cuma mintak hingga sampai UPSR dan kita penuhi sehingga tahap itu,” katanya.


Pengarang :