AGENDANASIONAL

MB: JAIS serbu pengikut Syiah ikut SOP

SHAH ALAM, 7 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari percaya serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di markas pengikut Syiah di Gombak, semalam mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, hal itu kerana tindakan terbabit dibuat selepas membuat siasatan awal.

“Saya belum dapat laporan lengkap daripada JAIS tetapi saya percaya ia mengikut SOP terperinci,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Agrofest 2019, di Bulatan Bazarena, di sini.

Katanya, Selangor jelas melarang ajaran itu dengan memberi amaran dalam khutbah setiap Jumaat.

Semalam, seramai 22 individu disyaki pengikut ajaran Syiah ditahan JAIS, di sebuah markas di Taman Sri Gombak.

Tangkapan itu dilakukan hasil risikan yang mendapati akan berlakunya perjumpaan dalam kalangan pengikut ajaran itu diketuai Pengerusi Syiah Malaysia, Kamil Zuhairi Abdul Azizi.

Tindakan menahan kesemua individu berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 12 (C) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Turut disita pada serbuan itu antaranya batu karbala, bingkai gambar, kain rentang, kitab serta buku ajaran syiah.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Pengurusan) JAIS, Azlinda Azman menyeru semua umat Islam terutama di Selangor menolak ajaran sesat sekeras-kerasnya kerana ia hanya membawa ke arah kesesatan.

“Kami akan terus memantau kegiatan penganut ajaran ini untuk memastikan tiada sebarang aktiviti berkaitan Syiah di Selangor terutama majlis sambutan Hari Karbala yang disambut setiap 10 Muharam.

“JAIS juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap penganut ajaran Syiah serta memohon kerjasama daripada orang awam untuk memaklumkan kepada kami sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan jenayah syariah.

“Orang ramai boleh hubungi talian hotline JAIS di talian 1-800-88-2424,” katanya.


Pengarang :