Kes penceraian membabitkan pasangan beragama Islam semakin membimbangkan di Selangor sejak 2019. Trend itu menurun tahun ini berikutan kes tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Pasangan bercerai di Selangor paling ramai

SHAH ALAM, 17 SEPT: Kadar permohonan perceraian orang Islam di Selangor berada pada tahap serius apabila terdapat 24,063 kes bagi tempoh 2017 hingga 2018.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kes perceraian itu bukan hanya berlaku kepada pasangan berusia sebaliknya ia turut membabitkan golongan muda yang baru mendirikan rumah tangga.

Katanya, antara faktor yang menyebabkan terjadinya kes perceraian adalah kerana kurangnya persefahaman dan masalah kewangan pasangan.

“Mahkamah Syariah Selangor merekodkan kadar perceraian dalam kalangan orang Islam adalah yang tertinggi di Malaysia bagi tempoh melebihi lima tahun.

“Jumlah ini adalah serius dan membimbangkan namun kita akan melihat lebih lanjut berkenaan perkara ini termasuk modul praperkahwinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Seminar Perdana Kesedaran Undang-undang Syariah, Pelancaran Dana Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Selangor dan Sistem e-Locator di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga akan menambahbaik kursus perkahwinan dengan mewujudkan perkara berkaitan selepas perkahwinan.

“Keadaan ini sudah tentu tidak boleh dipandang ringan kerana jika masalah ini tidak ditangani secara serius, saya bimbang ia akan mengganggu agenda kemajuan Selangor yang disusun secara strategik demi kemaslahatan serta kebaikan rakyat negeri ini pada keseluruhannya,” katanya.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri juga mengambil serius perkara itu dan berusaha mengatasinya dengan mewujudkan kursus bagi membaikpulih institusi kekeluargaan di Selangor.

“Kursus ini akan merangkumi isu seperti pengurusan kewangan, pengurusan emosi dan spiritual, pengurusan penjagaan anak dan pengurusan keluarga secara keseluruhan,” katanya.


Pengarang :