Amirudin Shari menyampaikan hadiah tempat pertama kepada Kampung Kuantan yang menjadi johan Kampung Patriotik pada Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 DUN Bukit Melawati di padang Sekolah Kebangsaan Pasangan Kampung Kuantan, Kuala Selangor pada 13 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Kerajaan Negeri terus pantau tangani jerebu

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi menangani masalah jerebu melanda Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sehingga kini kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat hanya di kawasan Johan Setia iaitu melebihi 200.

Katanya, pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa dan jika bacaan IPU semakin mencatatkan paras berbahaya, Kerajaan Negeri akan membuat tindakan susulan.

“Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) masalah jerebu akan berlarutan sehingga awal Oktober dan ia mungkin secara ‘on-off’.

“Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa menjaga diri dan kurangkan aktiviti di luar rumah,” katanya.

Amirudin Shari berucap ketika Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 DUN Bukit Melawati di padang Sekolah Kebangsaan Pasangan Kampung Kuantan, Kuala Selangor pada 13 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas merasmikan Malam Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati di padang Sekolah Kebangsaan Pasangan Kampung Kuantan di sini, malam tadi.

Terdahulu, Johan Setia kekal sebagai kawasan tunggal di Selangor merekodkan IPU di paras sangat tidak sihat dengan bacaan melebihi 200.

Selain itu, turut sama terjejas iaitu lima kawasan di Selangor direkodkan pada paras tidak sihat antaranya Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, Banting dan Kuala Selangor.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengarahkan 29 sekolah di Klang dan Kuala Langat ditutup ekoran masalah pencemaran udara itu, kelmarin.


Pengarang :