AGENDANASIONALSELANGOR

MB: Pembenihan awan pada Ahad bergantung kepada keadaan

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: Kerajaan Negeri mengambil segala langkah yang perlu mengikut garis panduan ditetapkan Pelan Jerebu Kebangsaan bagi mengatasi jerebu ketika ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ini termasuk langkah pembenihan awan yang dijangka dilaksanakan esok.

“Kita tengok keadaan semasa ke semasa. Saya dapatkan maklum balas Jabatan Alam Sekitar, kalau perlu hari esok kita buat pembenihan awan tetapi kalau hari ini dah hujan kita boleh tengok semula keadaan berdasarkan garis panduan Pelan Jerebu Kebangsaan 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu Hibiscus 3 di Bandar Seri Coalfields di sini, hari ini.

Terdahulu, kualiti udara di Selangor menunjukkan beberapa kawasan berada pada paras tidak sihat dan sangat tidak sihat.

Berdasarkan data dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), stesen Johan Setia, Klang berada pada tahap tidak sihat apabila bacaan IPU mencatatkan 164 setakat jam 2 petang tadi berbanding sebelum ini, sangat tidak sihat.

Lima lagi stesen di Selangor turut menunjukkan bacaan IPU tidak sihat ialah Kuala Selangor (114), Petaling Jaya (140), Shah Alam (135), Klang (134) dan Banting (149).


Pengarang :