Amirudin Shari menyampaikan ucapan perasmian dalam Karnival Sukan Kampung Sungai Kertas 2019, Batu Caves. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Sedia bantu peniaga Pasar Pagi Selayang Baru dapat tempat

GOMBAK, 8 SEPT: Peniaga Pasar Pagi Selayang Baru akan dibantu mendapatkan tempat di bangunan baharu yang akan dibuka tidak lama lagi, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, pihaknya sudah berulang kali mengadakan pertemuan dengan Ahli Majlis dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi membincangkan isu berkenaan.

Katanya, isu mula timbul setelah jumlah peniaga bertambah sehingga menyebabkan ada peniaga mendakwa mereka tidak mendapat tempat di pasar baharu.

“Punca masalah ini ialah reka bentuk bangunan pasar baharu yang sudah direka bertahun lamanya tidak dapat menampung jumlah peniaga, sekarang kita lihat jumlah peniaga semakin bertambah.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri ada formula sendiri dan kita akan sedaya upaya (bantu) untuk dapatkan peniaga masuk,” katanya.

Dilaporkan penduduk menggesa MPS lebih telus dalam isu agihan tapak dan pemindahan peniaga Pasar Pagi Selayang Baru ke bangunan baharu selepas hampir separuh permohonan peniaga ditolak.

Pasar Pagi Selayang Baru mampu membuatkan 400 peniaga terdiri daripada pasar ikan dan sayur, medan selera serta penjaja berpayung, sementara bangunan bertingkat bagi pasar baharu difahamkan hanya menyediakan 200 petak.

Peniaga juga meluahkan rasa tidak puas hati apabila nama mereka yang berniaga bertahun lamanya di pasar itu tercicir.


Pengarang :