Amirudin Shari melakukan gimik perasmian Koperasi Lestari Sungai Tua Berhad dalam Program Gotong-Royong Merdeka 2019 Peringkat Kampung Sungai Tua Baharu, Batu Caves. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Tanah bina Litar Lumba Sungai Tua sudah digazet

GOMBAK, 8 SEPT: Tanah bagi pembinaan Litar Lumba Sungai Tua sudah digazet seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan Negeri 2019, tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pejabat daerah dan tanah juga sedang menanti kertas cadangan bagi menjayakan projek pembinaan berkenaan.

“Kerajaan Negeri juga sedang buat kajian dan penelitian sama ada pembinaan ini akan memberi kesan kepada alam sekitar mahupun penduduk.

“Sebolehnya kami tidak mahu litar ini berada terlalu dekat atau terlalu jauh dengan penduduk,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Gotong Royong Merdeka 2019 anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sungai Tua Baharu, di sini, hari ini.

Pada November 2018, Kerajaan Negeri mengumumkan akan membina litar lumba di tanah seluas 20 ekar di kawasan Sungai Tua, Gombak.

Litar itu akan dibina dengan kaedah Public Private Partnership bagi mengalakkan pembangunan sukan permotoran di negeri itu, selain penganjuran acara permotoran di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua berkata, perbincangan akan dilakukan bersama Persatuan Automobil Malaysia (AAM) bagi memastikan litar itu memenuhi spesifikasi dan pengiktirafan yang membolehkan kejohanan lebih besar diadakan.

Bagi memaksimumkan penggunaanya, litar itu juga boleh digunakan sebagai litar latihan pemanduan bagi jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, polis dan bomba.


Pengarang :